MH370: Naluri kuat rasa adik selamat
Astro Awani
Mac 19, 2014 08:53 MYT
Mac 19, 2014 08:53 MYT
Demikian luahan abang kepada salah seorang penumpang MH370, Adib Adli Syam yang tidak menyangka adiknya Mohd Khairul Amri adalah salah seorang penumpang pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
Adib berkata sudah menjadi rutin adiknya untuk ke Beijing atas keperluan kerja.
Mohd Khairul merupakan Ketua Jurutera Execujet Aviation Group, sebuah syarikat pengurusan pesawat peribadi.
Mohd Khairul merupakan Ketua Jurutera bagi rangkaian di Asia.
Ayah Khairul, Selamat Omar sebelum ini sering berkongsi dengan media perasaan serta harapan ahli keluarga.
Selepas seminggu usaha mencari dan menyelamat, keluarganya kini lebih tabah dan diharapkan perkembangan MH370 dapat memberikan sinar harapan buat keluarga.
Isteri Mohd Khairul, Erny Marsila Mustafar serta anak berusia setahun empat bulan Muhammad Isac Mohd Khairul Amri kini menganggap ia satu ketentuan.
Adib berkata Mohd Khairul akan sentiasa menghubungi ahli keluarga sebelum ke Beijing.
Setakat ini beliau berkata keluarganya tidak bercadang untuk pulang ke rumah dan masih menginap di Everly Hotel Putrajaya.
Sementara itu Adib berkata keluarganya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya pihak berkuasa memerlukan sebarang maklumat berkaitan adiknya.
Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan akan menyiasat penumpang dan anak kapal MH370 bagi merungkai misteri kehilangan pesawat berkenaan.