MH370 mungkin tidak berada di kawasan pencarian - ATSB

Astro Awani
Disember 20, 2016 17:40 MYT
ATSB berkata para pakar mereka juga mengenal pasti satu kawasan kira-kira 25,000km persegi di utara kawasan pencarian sekarang sebagai kawasan paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu. - Gambar fail
Terdapat kemungkinan besar pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 lalu tidak berada di kawasan pencarian yang telah dikenalpasti sebelum ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini, misi pencarian meliputi kawasan seluas 120,000 persegi setakat ini, namun tiada sebarang petunjuk baharu diperolehi berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
"Para pakar merumuskan bahawa sekiranya pencarian terus dilakukan di kawasan ini, lokasi prospektif terletaknya bangkai pesawat berkenaan berasaskan semua analisis yang dibuat setakat ini, ia tidak akan memberi hasil," kata agensi itu dalam laporannya melalui www.atsb.gov.au/publications/investigation_reports/2014/aair/ae-2014-054/
ATSB, agensi utama dalam usaha mencari MH370, berkata analisis bebas terkini tentang data satelit dan pola hanyutan, secara konsisten mengenal pasti lokasi impak paling berkemungkinan berkaitan MH370 ialah berhampiran gerbang ke-7[1] (di kawasan ~25 NM) dalam jajaran kira-kira 33'S hingga 36'S.
ATSB dalam laporan semakan semula utama pertamanya mengenai MH370 berkata pasukan penyiasat juga mengenal pasti satu kawasan yang paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.
Ia terletak kira-kira 25,000 kilometer persegi di utara kawasan pencarian sekarang.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia menyambut baik laporan yang dikeluarkan itu.
Beliau dalam satu kenyataan turut memberi jaminan usaha pencarian pesawat berkenaan tidak pernah diabaikan.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa hasrat untuk menemukan lokasi terletaknya MH370 tidak pernah diabaikan dan setiap keputusan yang diambil sentiasa berpandukan semangat kerjasama dalam kalangan ketiga-tiga negara itu."
"Harapan dan doa kami sentiasa mengiringi keluarga dan orang tersayang yang ditinggalkan penumpang serta anak kapal MH370."
Pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Misi pencarian yang dijalankan di Selatan Lautan Hindi ketika ini dijangka berakhir Januari depan.
#ATSB #Biro Keselamatan Pengangkutan Australia #Kementerian Pengangkutan #Lautan Hindi #Liow Tiong Lai #MH370
;