MH370: Misi pencarian tetap diteruskan, strategi akan diperhebat - Liow
Rahimah Abdullah
September 29, 2015 22:44 MYT
September 29, 2015 22:44 MYT
Misi pencarian MH370 akan tetap diteruskan dengan kerjasama tiga hala antara Malaysia-China-Australia.
Mesyuarat tiga pihak peringkat menteri itu akan diadakan minggu depan di China.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perbincangan itu akan menumpukan kepada strategi pencarian pesawat MH370 secara lebih berkesan.
"Kita masih meneruskan misi pencarian MH370 walaupun Perdana Menteri Australia telah bertukar. Namun, kita ucap terima kasih kepada Australia kerana masih komited dalam misi pencarian MH370.
"Kita akan mengadakan satu perbincangan tiga hala secara rasmi di China pada minggu depan untuk membincangkan secara lanjut mengenai strategi pencarian (MH370)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup World Communication Forum di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ujar beliau, penambahbaikan dalam strategi pencarian pesawat itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
"Kita akan meningkatkan strategi untuk mencari lokasi yang tepat MH370. Kita tahu kawasan itu (lokasi pencarian) kawasan yang betul, tetapi kita mahu cari (pesawat) dengan lebih cepat lagi supaya kita dapat cari MH370 ini dengan lebih awal.
"Kita sudah dapat jumpa flaperon. Jadi memang benar pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan daripada penemuan flaperon itu, pesawat itu telah bergerak dari lokasi itu ke Pulau La Reunion," ujar beliau.
Pasukan penyiasat Perancis sebelum ini mengesahkan serpihan yang dikenali sebagai 'flaperon' yang dijumpai di pantai Pulau Reunion adalah milik pesawat MH370 yang hilang 8 Mac 2014.
Pesawat itu membawa 239 penumpang dan dalam penerbangan dari Malaysia ke China.
Sementara itu, Malaysia turut mendesak penubuhan Tribunal Antarabangsa mengenai nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine, 17 Julai tahun lalu.
Tiong Lai menegaskan langkah itu penting bagi memastikan keadilan ke atas mangsa-mangsa nahas pesawat malang itu.
"Kita sedang bincang bagaimana untuk mewujudkan satu tribunal walaupun resolusi kita telah ditolak oleh Rusia, namun kita masih lagi berbincang dengan Joint Investigation Team (JIT) bagaimana untuk kita memastikan satu mahkamah antarabangsa yang berkesan untuk mendapat keadilan bagi mangsa-mangsa MH17.
"Kita mencari jalan penyelesaiannya untuk memastikan keadilan kepada mereka yang tidak bersalah," kata Tiong Lai.
Tambahnya, perkara itu perlu diselesaikan segera melalui platform antarabangsa.