MH370: Misi baru pencarian pesawat akan diteliti semula kerajaan
Hilal Azmi
Oktober 26, 2017 15:02 MYT
Oktober 26, 2017 15:02 MYT
Malaysia sedang meneliti tawaran syarikat Ocean Infinity sebelum memulakan misi baru dalam mencari pesawat MH370.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, misi yang membabitkan syarikat tersebut perlu diperincikan memandangkan jumlah bayaran antara AS$20 juta hingga AS$70 juta..
"Syarikat dengan peralatan yang lebih canggih ini menawarkan pencarian dengan konsep 'upon success' dan 'No Cure, No Fee'.
"Penelitian ini penting bagi memastikan bayaran hanya dibuat setelah bangkai pesawat malang itu dijumpai dan disahkan pihak ketiga lagipun ia membabitkan bayaran yang tinggi," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu adakah tawaran sebuah syarikat penerokaan dasar laut untuk meneruskan pencarian bangkai MH370 telah dipersetujui kerajaan.
Dalam pada itu, Ab Aziz berkata laporan akhir penyiasatan menyeluruh mengenai punca kehilangan MH370 sedang disediakan pasukan penyiasat dan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun dari tarikh penggantungan pencarian pesawat malang itu.
Keputusan menggantung pencarian MH370 dicapai semasa mesyuarat tripatite peringkat menteri antara Malaysia, Australia dan China pada 22 Julai lalu, namun pencarian selanjutnya boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.
MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.
#Ab Aziz Kaprawi
#Australia
#Beijing
#China
#Dewan Rakyat
#hilang
#Kuala Lumpur
#Malaysia Airlines
#MH370
#OCEAN INFINITY
#Parlimen
#pesawat
#Tan Seng Giaw