MH370: Mengapa sebar khabar angin? Nak populariti atau menjatuhkan? - Rakan bertanya
Astro Awani
Mac 14, 2014 17:53 MYT
Mac 14, 2014 17:53 MYT
Naluri rakan karib kepada pramugara Muhammad Hazrin Hasnan itu kuat mengatakan bahawa Hazrin masih hidup.
Hati Fizuan Izani Md Junid, yang mengenali Hazrin sejak bangku sekolah hancur sebaik melihat senarai penumpang MH370.
Pernah menetap serumah bersama Hazrin sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM), Fizuan turut berkongsikan watak rakannya itu.
"Dia pendiam tapi bila bersama kawan-kawan, dia memang bersuara dan suka melawak. Dia seorang yang mementingkan 'brotherhood' dan 'sportsmanship. Kalau ada kawan hadapi masalah dialah orang pertama yang akan membantu," kata Fizuan.
Dia juga terkesan melihat pelbagai khabar angin melalui laman sosial dan berharap masyarakat lebih sensitif dalam menyebarkan sesuatu maklumat.
"Laman sosial itu terlalu banyak benda-benda yang bercanggah daripada berita yang kita dengar. Kadang-kadang ia boleh membuat saya tertekan. Apa yang mereka inginkan dengan menyebarkan khabar angin yang mereka buat? Nak populariti? Nak menjatuhkan orang?" tambah beliau.
Hazrin merupakan salah seorang dari 12 kabin krew Malaysia Airlines yang bertugas di dalam pesawat MH370. Pesawat yang membawa 227 penumpang itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.