MH370: MAS komited untuk berkongsi maklumat sah dengan semua pihak
Bernama
Mac 15, 2014 07:39 MYT
Mac 15, 2014 07:39 MYT
Malaysia Airlines (MAS) kekal komited untuk berkongsi maklumat yang disahkan dengan anggota keluarga serta orang ramai secara terbuka dan telus berhubung kehilangan penerbangan MH370.
Menurut kenyataan MAS pada Sabtu, bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa, adalah penting untuk mengesahkan maklumat baharu terlebih dahulu sebelum memaklumkannya kepada orang ramai.
"Lanjutan kepada kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkaitan pencarian berterusan bagi penerbangan MH370, MAS telahpun berkongsi segala maklumat yang ada dengan pihak berkuasa berkaitan bermula dari detik kami mengetahui kehilangan pesawat itu pada awal pagi Sabtu 8 Mac.
"Ini termasuk petunjuk awal bahawa MH370 mungkin terbang selama beberapa jam selepas hubungan terputus, yang dirujuk Perdana Menteri hari ini," katanya.
Najib dalam sidang akhbar hari ini mengesahkan bahawa satu penerbangan yang sebelum ini dikesan radar utama adalah MH370, yang menyimpang dari haluan asal Sabtu lepas, dan hilang.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan situasi semasa yang terlalu sensitif, adalah kritikal bahawa isyarat satelit disahkan dan dianalisis pihak berkuasa yang berkaitan agar kepentingannya mampu difahami dengan tepat.
Menurut kenyataan itu, tidak pernah ada kes di mana maklumat diperoleh dari isyarat satelit sahaja berpotensi untuk digunakan bagi mengenal pasti lokasi pesawat penumpang komersil yang hilang.
Kenyataan itu menyatakan keutamaan mutlak MAS pada setiap masa ialah menyokong pihak berkuasa yang menerajui pencarian MH370 oleh pelbagai negara bagi membolehkan mereka akhirnya dapat memberikan jawapan yang ditunggu-tunggu masyarakat dunia dan keluarga.
"Kami juga sedar tentang spekulasi media yang berterusan dalam tempoh ini dan kesannya terhadap keluarga mereka yang berada dalam pesawat berkenaan.
"Penderitaan dan kesedihan mereka bertambah setiap hari, dengan setiap khabar angin baharu dan setiap laporan palsu atau mengelirukan oleh media.
"Ingatan serta doa kami sentiasa bersama keluarga 227 penumpang dan 12 rakan sekerja kami yang berada dalam penerbangan MH370. Mereka kekal sebagai keutamaan dalam setiap tindakan yang kami ambil," katanya.