MH370: MAS harap lebih banyak objek akan ditemui
Hakim Rahman
Ogos 5, 2015 03:33 MYT
Ogos 5, 2015 03:33 MYT
Malaysia Airlines (MAS) mengharapkan lebih banyak objek akan ditemui bagi membantu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu menganggap serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di Perancis Julai lalu yang disahkan milik MH370, sebagai satu kejayaan besar dalam menyelesaikan misteri tersebut.
“Kami akan memberikan perkembangan terkini termasuk maklumat kepada keluarga dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang relevan dalam penyiasatan dan pemulihan kemalangan tragik ini,” kata kenyataan itu.
Menurut MAS, waris penumpang dan anak kapal juga telah dimaklumkan mengenai pengesahan tersebut dan merakamkan rasa simpati mereka.
Selain itu, MAS juga berkata akan memberi keutamaan dalam menyediakan maklumat terkini kepada keluarga waris.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pulau tersebut adalah sebahagian daripada pesawat penerbangan MH370.
Pengesahan itu dibuat selepas pihak berkuasa Perancis, Biro d 'Enquetes et d' Analisis pour la Sekuriti de I'AviationCivile (BEA), Pasukan Siasatan Malaysia, wakil teknikal dari China dan Biro Pengangkutan Keselamatan Australia (ATSB) memeriksa serpihan pesawat itu di Toulouse, Perancis.