MH370: MAS beri taklimat 2-3 kali sehari kepada keluarga penumpang di China

Aizat Sharif
Mac 17, 2014 19:04 MYT
Penerbangan Malaysia (MAS) telah sekurang-kurangnya berhubung antara dua hingga tiga kali sehari dengan keluarga dan waris penumpang pesawat MH370 dari China dalam memastikan mereka turut mendapat perkembangan terkini mengenai status pencarian pesawat tersebut.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata setiap hari pihak MAS akan memberikan taklimat perkembangan semasa kepada keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang sehingga kini masih gagal ditemui.
“Malah kepada ahli keluarga dan waris penumpang negara China yang tidak mahu datang ke sini (Kuala Lumpur) akan dihubungi antara dua hingga tiga kali sehari dalam memberikan perkembangan terkini kepada mereka,” kata Hishamuddin ketika sidang media di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.
Malah, menurut Hishammuddin lagi, MAS juga telah menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga dan waris penumpang dan krew kapal terbang tersebut.
“Setiap keluarga atau waris telah diberi seorang sukarelawan oleh MAS dimana mereka ini akan menjaga hal-ehwal kebajikan dan keperluan ahli keluarga ini untuk 24 jam dan selain itu juga, terdapat lebih dari 100 staf dan sukarelawan yang diterbangkan ke Beijing untuk tujuan yang sama,”.
Dalam melancarkan usaha tersebut, MAS juga telah menubuhkan pusat operasinya di kedua-dua kawasan di Kuala Lumpur dan Beijing untuk memberi kemudahan kepada keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370.
Terdapat 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat MH370 yang terputus komunikasi dengan pusat kawalan trafik udara pada 8 Mac lalu.
Dari jumlah tersebut, 152 orang adalah warganegara China.
#China Hishamuddin #MH370 #taklimat
;