MH370: Malaysia tanggung sebahagian kos operasi kapal 'Fugro Supporter'

Bernama
Januari 13, 2015 22:05 MYT
Sebelum ini tiga kapal digerakkan dalam operasi mencari pesawat berkenaan iaitu 'Go Phoenix', 'Fugro Discovery' dan 'Fugro Equator'. - Foto Fail
Malaysia akan menanggung sebahagian daripada kos operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang menggunakan kapal 'Fugro Supporter' milik Australia.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Australia dijangka membelanjakan sejumlah AUD120 juta (RM349.6 juta) untuk operasi kapal itu yang dilengkapi dengan peralatan sonar untuk pencarian di dasar laut.
"Sebelum ini tiga kapal digerakkan dalam operasi mencari pesawat berkenaan iaitu 'Go Phoenix', 'Fugro Discovery' dan 'Fugro Equator'.
"Dalam operasi (tiga kapal sebelum ini), Petronas memperuntukkan RM67 juta bagi pihak Malaysia bagi membiayai penyediaan sonar imbasan dan kapal sokongan marin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cek kepada 16 organisasi kebajikan anjuran 'Civic Consciousness and Volunteerism Project' Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini, hari ini.
Liow berkata kerajaan akan terus menyalurkan perkembangan terkini operasi pencarian dan khidmat kaunseling kepada anggota keluarga penumpang dan pesawat MH370 di Malaysia dan di Family Communication and Support Centre (FCSC), Beijing, China.
"Walaupun tumpuan dunia kini kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat Air Asia Indonesia QZ8501, kami tetap komited dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu," katanya.
Operasi mencari Penerbangan MH370 kini memasuki bulan kesembilan sejak ia hilang pada 2.40 pagi 8 Mac tahun lepas.
Pesawat membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Sementara itu, Liow berkata penemuan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit AirAsia Indonesia Pesawat QZ8501 akan membolehkan pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti punca kejadian dan seterusnya dapat menamatkan spekulasi umum mengenai insiden malang itu.
"Kita perlu sedar bahawa tragedi ini merupakan peringatan tentang betapa pentingnya peningkatan sistem keselamatan penerbangan antarabangsa serta taraf keselamatan penerbangan awam.
"Malaysia terus komited menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan sama ada dari segi aset mahupun kepakaran kepada pihak berkuasa Indonesia dan telah mengerahkan tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi usaha pencarian QZ8501," katanya.
Perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui di dasar laut dan dibawa naik ke kapal Tentera Nasional-Angkatan Laut (TNI-AL), Indonesia KRI Banda Aceh, pagi tadi.
Kotak hitam itu ditemui pada koordinat 03" 37.21 S atau 109" 42.42 E dengan kedalaman antara 30 hingga 32 meter iaitu berhampiran tempat ekor bangkai pesawat itu ditemui di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
#Australia #Datuk Seri Liow Tiong Lai #Malaysia #Malaysia Airlines Penerbangan MH370
;