MH370: Malaysia nafi laporan Fugro, yakin operasi dibuat di kawasan betul
Harits Asyraf Hasnan
Julai 22, 2016 20:57 MYT
Julai 22, 2016 20:57 MYT
Selama lebih dua tahun usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370, pasukan pencarian berada di lokasi yang tepat di Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, kawasan pencarian itu merupakan kawasan yang diputuskan oleh pakar-pakar antarabangsa daripada pelbagai agensi.
Keyakinan itu disuarakan Datuk Seri Liow berdasarkan penemuan beberapa serpihan sebelum ini yang memberi indikasi bahawa operasi pencarian adalah di lokasi yang tepat.
"Kami yakin bahawa kami menjalankan pencarian di kawasan yang tepat kerana kita menilai dengan keputusan yang dibuat oleh pakar. Untuk pengetahuan anda, pasukan pakar ditubuhkan dari pelbagai negara.
"Ia termasuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NSTB), dari badan penyiasat Britain, Boeing, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.
"Jadi kita yakin dengan hasil keputusan pakar. Berdasarkan hasil keputusan pakar, sebab itu kita kenal pasti kawasan pencarian seluas 120,000km persegi. Jadi saya fikir hingga kini, kita tetap yakin selepas penemuan beberapa serpihan.
"Serpihan itu menunjukkan ia datang dari kawasan tersebut. Jadi kita masih yakin kita mencari di tempat yang betul," katanya pada sidang media bersama tiga negara melibatkan China, Australia dan Malaysia.
Hadir sama pada sidang media tersebut Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester serta Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.
Kenyataan Datuk Seri Liow itu sekali gus menafikan kenyataan yang dibuat pasukan penyiasat Belanda yang mengetuai misi pencarian pesawat MH370.
Pada Khamis, agensi berita Reuters melaporkan, Pengarah Projek Fugro, Paul Kennedy mendakwa, mereka percaya penerbangan pesawat yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi pada dua tahun lalu mungkin meluncur lebih jauh berbanding teori ia menjunam pada saat-saat akhir.
Kenyataan Kennedy itu sekali gus membuka satu lagi persoalan mengenai ketepatan zon pencarian dilakukan sebelum ini.
#Darren Chester serta Menteri Pengangkutan China
#Datuk Seri Liow Tiong Lai
#Hadir sama pada sidang media tersebut Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia
#laporan Fugro
#MH370
#pencarian pesawat
#Yang Chuantang