MH370: Lima tahun berlalu, pewaris kesal mangsa tak sempat jumpa cucu
Afiq Ariffin
Februari 22, 2019 09:00 MYT
Februari 22, 2019 09:00 MYT
Selepas lima tahun berlalu, tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal, Jacquita Gonzales masih terkenangkan suaminya.
Walaupun suaminya Patrick Gomez, bekas penyelia pesawat penerbangan itu, telah hilang dalam tempoh yang lama, Jacquita masih menunggu pencerahan kepada misteri yang masih tidak terjawab itu.
Jauh di sudut hatinya, dia mahukan kebenaran tentang kehilangan pesawat yang dinaiki suaminya dalam tragedi yang terjadi pada 8 Mac 2014 itu.
Ketika ditemu bual Astro AWANI, dia menceritakan bahawa kini dia mempunyai cucu baharu yang mana suaminya tidak berkesempatan bertemu dengannya.
“Saya harap dia (Patrick) ada di sini untuk melihat cucunya itu membesar. Sebelum ini, Patrick sangat rapat dengan cucu lelakinya iaitu Rafael dan saya rasa dia akan menyayangi Alexandra sama seperti Rafael.
“Saya juga berharap dia ada pada setiap sambutan hari kelahiran, ulang tahun dan musim perayaan yang selama ini kami sambut tanpanya.
"Dia sentiasa bersama kami di dalam hati kami,” katanya yang juga merupakan seorang guru tadika.
Tambahnya, walaupun Alexandra tidak pernah berjumpa dengan datuknya, Jacquita sering menunjukkan gambar Patrick supaya anak kecil itu tahu tentangnya.
Ketika ditanya mengenai pertama kali beliau menerima berita kehilangan pesawat itu, beliau memberitahu bahawa ia adalah hari terburuk dalam hidupnya.
“Ia merupakan hari terburuk dalam hidup saya, apabila bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Lautan India merupakan tempat terakhir pesawat dikesan, kami tidak mampu menerimanya.
“Mereka hanya beritahu bahawa pesawat itu hilang dan tempat terakhirnya di Lautan India, sekiranya mereka beritahu apa yang berlaku sebenarnya baru saya akan terima,” ujar Jacquita.
Selain itu, beliau juga meluahkan rasa sedih kerana tiada berita terkini mengenai pesawat malang itu.
“Saya tidak boleh pergi ke tanah perkuburannya, saya tidak boleh pergi ke monumen atau tugu memorial kerana tiada tempat seperti itu disebabkab pesawat masih belum ditemui. Apa yang saya boleh lakukan adalah berdoa dan memasang lilin pada 8 Mac setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga turut melahirkan harapan agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuka semula kes tersebut dan kembali menyambung pencarian pesawat itu.
“Kepada Tun Mahathir, ketahuilah, hanya itu yang kami mahukan. Kami hanya mahu kesemua mangsa ditemui. Kami mahu ada penutup kepada cerita ini.
“Mangsa yang hilang merupakan rakyat Malaysia dan kru kabin yang bekerja untuk Malaysia, membawa bendera kebangsaan. Mereka adalah rakyat Malaysia dan ia patut jadi keutamaan."
#Astro Awani
#hilang
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Airlines
#mangsa
#MH 370
#Najib Razak
#penerbangan
#penerbangan Malaysia
#Perdana Menteri
#pesawat
#waris