MH370: Laporan pencarian kepada waris diberi setiap minggu - Liow

Wan Syamsul Amly
Februari 9, 2018 17:02 MYT
TIONG LAI: Saya difahamkan signal vessel itu ditutup dalam perjalanan balik ke perlabuan untuk diservis, itu hak vessel itu untuk berehat. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
Kerajaan akan memberikan laporan mingguan dalam misi pencarian MH370 oleh firma swasta, Ocean Infinity kepada waris pesawat yang hilang pada 2014 itu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, laporan harian tetap diberi syarikat pencarian swasta itu kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk perkembangan terkini.
Jelasnya, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman juga sudah diarahkan untuk segera memberi laporan seandainya ada hasil baru yang ditemui.
Katanya, isu Seabed Constructor yang mematikan transponder lokasinya selama tiga hari untuk diservis merupakan hak kapal itu sendiri untuk berehat.
"Saya difahamkan signal vessel itu ditutup dalam perjalanan balik ke perlabuan untuk diservis, itu hak vessel itu untuk berehat dan juga kemudian menyambung pencarian. Tidak ada masalah dalam misi pencarian kita," katanya.
BACA: Dakwaan penemuan baharu MH370 bakal terjawab esok?
BACA: Tiada konspirasi, kapal pencari MH370 tidak hilang - Liow Tiong Lai
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran program Belt and Road 2.0 antara Malaysia dan China di sini hari ini.
Ia merupakan strategi pelaburan dua negara yang memberi pendedahan kepada belia untuk menceburi bidang perniagaan.
Ketika ini lebih 65 buah negara yang menyertai program Belt and Road tersebut termasuk Malaysia dan ini secara tidak langsung membuka peluang kepada negara-negara lain untuk melabur di negara ini.
Pada Khamis, Azharuddin berkata, buat masa ini masih belum ada sebarang petunjuk positif dalam misi pencarian MH370.
Beliau juga mengesahkan Seabed Constructor itu kini berlabuh di pelabuhan berdekatan Henderson di Perth untuk menambah bekalan.
Bulan lalu, kerajaan Malaysia mengupah Ocean Infinity, sebuah firma swasta, untuk mengetuai misi baharu pencarian bagi pesawat yang hilang itu.
Kapal pencari Seabed Constructor menggunakan dron bawah air berteknologi tinggi menampung pencarian di kawasan baru berkeluasan kira-kira 25,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.
#AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #Department of Civil Aviation Malaysia #Liow Tiong Lai #MH370
;