MH370: Kumpulan terbaru peninjau udara sertai misi pencarian

Bernama
April 5, 2014 21:53 MYT
--Gambar fail.
Kontinjen terbaru peninjau udara terlatih tidak lama lagi akan menyertai misi pencarian MH370 yang diketuai Australia, lapor Australian Associated Press (AAP).
Perkhidmatan Kecemasan Negeri Australia Selatan (SASES) menghantar empat peninjau dengan pembabitan masa lampau dalam operasi dari udara untuk mencari pesawat di laut atau kawasan terpencil.
"Ia berupa tugas yang mencabar yang memerlukan tumpuan mendalam dalam tempoh masa yang telah dilanjutkan," Ketua Pegawai SASES Chris Beattie memberitahu AAP pada Sabtu.
"Kerahan sukarelawan kami ke Perth esok merupakan contoh terbaik keupayaan beroperasi antara agensi dan juga sebahagian daripada usaha pencarian besar-besaran membabitkan kapal, pesawat, kapal selam dan satelit dari lebih 20 negara," katanya.
Pencarian dari udara itu untuk mengesan serpihan atau apa-apa tanda lain berkaitan pesawat MH370, tertumpu di kawasan seluas 217,000 kilometer (km) persegi, kira-kira 1,700km ke barat daya Perth.
Kapal dari pelbagai negara juga menggerakkan pencarian di dasar laut menggunakan peralatan yang berupaya mengesan isyarat dari perakam kotak hitam pesawat.
Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370, dengan 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari imbasan radar sejak 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, pada pukul 12.41 tengah malam.
"Ingatan kami sentiasa bersama keluarga semua penumpang yang berada dalam pesawat MH370," kata Beattie.
#Malaysia Airlines #MAS #MH370 #SAR
;