MH370: "Kita akan teruskan pencarian"

Astro Awani
Mac 21, 2014 19:39 MYT
Pesawat P3 Orion - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pesawat pertama milik Australia yang dihantar ke kawasan selatan Lautan Hindi — kawasan yang disifatkan tempat paling sunyi di dunia — untuk mengesan objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang pulang dengan tangan kosong.
Pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) itu mendarat di Perth pada pukul 7.30 malam waktu Australia Timur (4.30 petang waktu Malaysia).
Juruterbang pesawat itu, Leftenan Udara Russell Adams berkata keadaan cuaca di lokasi carian pada Jumaat adalah baik dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer namun pihaknya tidak mengesan sebarang objek yang berkaitan.
"Kita ada harapan dan sekiranya keadaan cuaca kekal seperti ini, kita harap akan jumpa sesuatu tidak lama lagi," katanya kepada wartawan, seperti dipetik oleh Perth Now.
Tiga lagi pesawat RAAF — dua buah Orion dan sebuah Bombardier Global Express — masih terbang di kawasan yang terletak kira-kira 2,300 kilometer dari pesisir pantai barat Australia untuk merungkaikan misteri kehilangan pesawat penerbangan MH370 dua minggu lalu.
Sebuah lagi pesawat akan menyertai operasi mencari dua objek yang dikesan terapung di Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Pemangku Perdana Menteri Australia, Warren Truss pada lewat Jumaat mengesahkan dua pesawat dari China akan tiba di Perth pada Sabtu manakala dua pesawat dari Jepun akan menyertai operasi pada Ahad.
Truss, yang akan melawat pangkalan udara RAAF di Pearce dekat Perth pada Sabtu — tempat usaha mencari ini diselaraskan , berkata usaha mengesan pesawat itu akan diperluaskan pada hujung minggu ini.
Beliau juga mengingatkan oleh kerana imej satelit itu diambil pada Ahad lepas, ada kemungkinan objek berkenaan sudah hanyut atau tenggelam.
Bagaimanapun beliau menambah: "Hanya inilah petunjuk yang ada di dunia sekarang — dan ada kemungkinan yang pasti pesawat itu ada di kawasan tersebut. Oleh itu, kita mesti mengambil serius usaha mencarinya."
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) melaporkan keadaan cuaca akan bertambah baik dengan keadaan laut sederhana dan tahap penglihatan yang beransur baik.
"Rancangan esok (Sabtu) ialah kita akan mengulangi carian yang sama," kata ketua bahagian kecemasan AMSA, John Young.
"Kita akan menggerakkan carian ke kawasan lain mengikut arus laut sepanjang malam."
Pihaknya juga akan mencari imej satelit lain yang mungkin boleh memberikan gambaran yang lebih jelas untuk membantu carian.
"Tetapi rancangannya ialah kita mahu menemui objek ini kerana ini adalah petunjuk terbaik yang memungkinkan kita mencari mereka yang boleh diselamatkan ... kita masih fokus kepada usaha itu," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai tentera yang menyertai operasi mencari itu memaklumkan pesawat Orion terbang rendah pada ketinggian 60 meter dari permukaan laut.
Pesawat dengan 13 krew itu dilengkapi dengan sistem radar tercanggih dan tiga kamera termasuk sebuah kamera infra merah yang membolehkan ia mengesan apa saja di permukaan laut.
"Kita akan jumpa, saya yakin. Satu-satunya sebab untuk kita tidak jumpa ialah kalau ia sudah tenggelam," kata Mike Yardley, Komodor Udara dengan pasukan tentera New Zealand.
"Saya sudah menyertai misi seperti ini beberapa kali dan biasanya pencarian ini memakan masa beberapa hari."
Kawasan di selatan Lautan Hindi itu begitu terpencil sehingga memerlukan masa empat jam untuk pesawat Orion terbang ke situ dan empat jam juga untuk balik, dengan baki dua jam untuk usaha mencari.
Penemuan imej satelit pada Khamis memberikan harapan baru untuk menemui pesawat MAS yang hilang itu dan sekali lagi menggoncang perasaan ahli keluarga 239 orang yang berada dalam penerbangan itu.
Usaha mencari di selatan Lautan Hindi itu turut disertai oleh kapal pemecah ais dari China yang berada di Perth dalam rangka penyelidikan di Antartika.
Selain itu, kapal dagang Norway yang berada di sana sejak petang Khamis akan disertai sebuah lagi kapal dagang yang dijadual sampai pada Jumaat malam.
#MH370 #P3 Orion #penerbangan Malaysia
;