MH370: Kerajaan akan bincang dengan China, Australia berhubung kotak hitam

Astro Awani
Ogos 8, 2015 01:10 MYT
Pandangan udara Pulau Reunion di Perancis di mana serpihan pesawat Boeing 777, yang kini telah disahkan kepunyaan MH370, ditemui pada 29 Julai. - Foto AFP/Richard Bouhet
Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan China dan Australia dalam masa terdekat mengenai kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media Pencarian MH370, Datuk Jailani Johari berkata perbincangan ini membuktikan kerajaan akan terus melakukan apa sahaja termampu bagi menyiasat tragedi yang menimpa pesawat malang itu.
Jelas Jailani, cadangan perbincangan mengenai kotak hitam dibuat susulan penemuan 'flaperon' yang disahkan milik MH370 di Pulau Reunion.
"Kita hendak mencari kotak hitam, supaya bila kita dah dapat kotak hitam pesawat itu, kita tahu apa isi kandungannya dan kita dapat memahami apa sebenarnya yang terjadi pada malam kehilangan tersebut," jelas Jailani.
Bagaimanapun Jailani mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi awal terhadap penemuan serpihan yang disahkan milik MH370 itu.
Kerajaan Perancis sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengerahkan pasukan pencarian ke Pulau Reunion di Lautan Hindi bagi mencari serpihan lain yang mungkin ada kaitan dengan MH370.
MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal. Ia hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
#flaperon #France #Jailani Johari #kotak hitam #MH370 #reunion
;