MH370: Keputusan penemuan serpihan dalam tempoh 72 jam - Nik Huzlan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 30, 2015 22:57 MYT
Julai 30, 2015 22:57 MYT
Teka-teki mengenai status serpihan sayap pesawat yang dijumpai di Pulau La Reunion dijangka boleh diketahui dalam tempoh 72 jam.
Menurut bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain, andaian itu dibuat berdasarkan kebiasaannya itu adalah prosedur siasatan oleh badan siasatan antarabangsa.
"Saya berani cakap kita tunggu dulu siasatan ... dalam tempoh 72 jam kita akan dapat tahu secara mutlak dari mana dan dari pesawat mana serpihan yang dijumpai itu datang," kata Nik Huzlan, pada Khamis.
Huzlan optimis, penemuan serpihan sayap itu akan membawa kepada penemuan sebenar pesawat MH370 yang hilang lebih setahun lalu.
Jelasnya, berdasarkan petunjuk serpihan yang ditemui itu, terdapat kebarangkalian tinggi ia akan membawa pasukan penyiasat kepada penemuan pesawat itu.
"Kalau itu milik Boeing 777, maknanya ia datang dari badan pesawat MH370, setahu saya terdapat 1200 Boeing 777 dijual dari tahun 1996, sehingga sekarang hanya lima buah pesawat yang musnah di daratan dan hanya satu pesawat musnah dalam air dan hilang iaitu pesawat MH370," jelasnya lagi.
Katanya, jika ia buatan Boeing 777, maka ia jelas membuktikan serpihan tersebut adalah milik MH370.
Beliau berkata demikian ketika temubual secara langsung dalam Buletin Awani 7.45 yang disiarkan pada Khamis.
Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370.
Kerajaan Malaysia kemudiannya mengisytiharkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan telah terkorban.