MH370: Keluarga dan waris penumpang warga China akan diterbangkan ke Kuala Lumpur

Aizat Sharif
Mac 10, 2014 15:58 MYT
Ahli keluarga dan waris kepada penumpang pesawat MH370 yang berwarganegara Republik Rakyat China akan diterbangkan ke negara ini bagi mengikuti perkembangan terkini usaha mencari dan menyelamat pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS).
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata mereka dalam persiapan untuk menerbangkan ahli keluarga dan waris penumpang warganegara China ini
“Kami telah membuat tawaran kepada mereka ini untuk membawa dua orang untuk setiap ahli keluarga dan kini kita telah tingkatkan tawaran ini dengan mengajak sekurang-kurang lima orang untuk setiap ahli keluarga dalam penerbangan ini,” kata Ahmad Jauhari pada sidang media yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun, hanya dua orang untuk setiap keluarga sahaja yang akan diterbangkan dengan segera sama ada hari ini atau esok.
“Selebihnya akan mengikutinya kemudian,”.
Sebelum ini, ahli keluarga dan waris penumpang warganegara China yang menaiki pesawat MH370 itu dikatakan berang kerana pihak MAS enggan berkongsi apa-apa jua maklumat dengan mereka.
Malah, mereka mendakwa pihak MAS juga tidak mendedahkan apa-apa maklumat terkini berkenaan nasib ahli keluarga mereka yang mengikuti penerbangan itu dan mereka hanya bergantung kepada maklumat-maklumat yang terdapat di media dan laman sosial.
Dalam penerbangan pada awal pagi Sabtu itu, pesawat tersebut membawa 239 penumpang dan 153 daripanya adalah warga negara China.
Pesawat yang seharusnya mendarat di Beijing sekitar jam 6.30 pagi itu telah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi.
Walau bagaimanapun, 50 minit kemudiannya, pesawat tersebut telah terputus hubungan dengan menara kawalan dan gagal dikesan sehingga hari ini.
#China #KLIA #MAS #MH370
;