MH370: Kawasan carian mungkin berganda menjadi 120,000km persegi

Hamzah Hamid
April 16, 2015 17:25 MYT
TIONG LAI: Ketiga-tiga negara bersetuju menyambung misi pencarian dalam fasa kedua yang juga luas 60,000km persegi. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu mungkin berganda menjadi 120,000 kilometer persegi sekiranya fasa pertama pencarian di zon seluas 60,000km persegi di selatan Lautan Hindi tidak menemui sebarang petunjuk.
Pengumuman tersebut disampaikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang media selepas berlangsungnya mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, Australia dan China yang ketiga pada hari ini berkenaan pencarian pesawat malang berkenaan.
Sidang media tersebut turut disertai Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss dan juga Menteri Pengangkutan China Yang Chuantang.
Selain Liow (tengah) sidang media bersama turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss (kiri) dan juga Menteri Pengangkutan China Yang Chuantang (kanan). - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
“Kami amat berterima kasih kepada Australia dan China kerana sokongan yang mereka berikan. Sehingga kini, 61 peratus pencarian daripada kawasan seluas 60,000km persegi telah dilakukan dan berharap dapat menghabiskan seluruh kawasan tersebut menjelang akhir Mei ini.
“Sekiranya tidak ditemui sebarang petunjuk mengenai lokasi pesawat tersebut, ketiga-tiga negara bersetuju menyambung misi pencarian dalam fasa kedua yang juga luas 60,000km persegi,” ujar beliau.
Kawasan keseluruhan 120,000km persegi itu merupakan 95 peratus daripada kawasan laluan penerbangan pesawat berkenaan.
Begitupun, menurut Tiong Lai, perbelanjaan kos anggaran bagi fasa kedua itu nanti berkurangan menjadi AUS$50 juta (RM142 juta) berbanding AUS$120 juta (RM340 juta) untuk fasa pertama. Kos tersebut ditanggung oleh Malaysia dan Australia.
Zon pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan data dan maklumat daripada pakar penerbangan, isyarat satelit dan juga pemetaan had bahan api pesawat. - Foto Astro AWANI
Tambah Tiong Lai, jika pesawat itu ditemui dan dapat diakses, ketiga-tiga kementerian bersetuju untuk menjalankan perancangan menyelamat, termasuk mengumpulkan semua bukti yang diperlukan untuk kerja-kerja siasatan.
Sementara itu, Truss menyatakan kesediaan Australia untuk terus memberikan komitmen dan sokongan dalam usaha pencarian tersebut.
“Walaupun kos yang dianggarkan dalam fasa kedua ini dikurangkan, kami akan pastikan semua usaha dalam misi pencarian ini berjalan dengan sewajarnya,” ujarnya.
Dalam sesi soal jawab, Truss menolak kemungkinan bahawa pencarian itu dilakukan di lokasi yang salah kerana zon pencarian sekarang ini adalah berdasarkan maklumat dan data daripada pakar penerbangan, isyarat satelit serta juga had bahan api pesawat.
Chuantang pula menyatakan bahawa China berpegang kepada janjinya untuk memberikan bantuan yang diperlukan demi mencari pesawat MH370.
“Kami sedia bertindak secara proaktif dalam misi pencarian ini termasuk memberi bantuan yang diperlukan Malaysia dan Australia seperti mengerahkan aset seperti pesawat dan kapal dalam operasi pencarian.
Ketiga-tiga negara sepakat untuk berusaha mencari jawapan kepada misteri kehilangan MH370 kerana keluarga penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan selain memastikan maklumat dan perkembangan semasa sentiasa dikemas kini.
#Australia #China #Malaysia Airlines #MH370 #misi pencarian #SAR #Warren Truss #Yang Chuantang
;