MH370: Kaedah baru digunakan bagi meluaskan kawasan pencarian

Agensi
November 26, 2014 14:19 MYT
Menurut Penyelaras Pencarian Australia, Peter Foley serpihan MH370 berkemungkinan akan naik ke daratan. - Gambar fail
Satu kaedah pencarian baru akan digunakan membantu dalam memperluaskan kawasan carian serpihan pesawat Malaysia Airlines, MH370.
Menurut Penyelaras Pencarian Australia, Peter Foley, serpihan MH370 berkemungkinan akan naik ke daratan.
Kaedah baru ini akan meluaskan pencarian selepas analisis awal diterima yang menjangkakan serpihan pesawat tersebut berkemungkinan berlabuh di Barat Sumatera Indonesia selepas 123 hari.
Foley memberitahu walaupun pusat pencarian menerima laporan sekurang-kurangnya seminggu sekali tentang serpihan yang berlabuh di persisiran pantai Australia, namun tiada yang dikenalpasti sebagai serpihan daripada pesawat itu.
Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menafikan dakwaan bahawa terdapat percanggahan mengenai kawasan pencarian di antara lima kumpulan antarabangsa iaitu America's Boeing Co, France's Thales, US investigator the National Transportation Safety Board & the Australian Defence Science danTechnology Organisation.
Pada bulan lalu, satu laporan terbaru diterima yang menentukan dua kawasan yang sangat penting di selatan selepas kumpulan antarabangsa itu pada awalnya bersetuju bahawa berkemungkinan kawasan tersebut berada kira-kira 600 kilometer panjang dengan 90 kilometer lebar dari barat Perth.
Bagaimanapun, menurut ATSB, kesemua lima kumpulan terbabit bersetuju bahawa kawasan terakhir pesawat MH370 adalah berada di '7th Arc' – iaitu satu lengkungan yang meliputi kawasan seluas 1,000 kilometer dari Exmouth Barat Australia ke 2,000 kilometer dari Barat Daya Perth.
Setakat ini, lebih 6,900 kilometer per segi kawasan dasar laut telah diterokai.
Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Sir Timothy Charles Clark dengan lantangnya berkata dalam satu temubual bersama wartawan penerbangan Andreas Spaeth bahawa pesawat itu akan terus tercatat dalam sejarah dan menjadi misteri terhebat dalam dunia penerbangan.
Pesawat yang dalam perjalanan menuju ke Beijing itu telah hilang pada 8 Mac lalu dan dipercayai berakhir di Lautan Hindi.
#ATSB #MAS #MH370 #Syarikat penerbangan Malaysia