MH370: Jangan percaya maklumat di media sosial - Mas Ermieyati
Raffi Bachik
Oktober 12, 2015 09:20 MYT
Oktober 12, 2015 09:20 MYT
Orang ramai khususnya rakyat Malaysia digesa tidak percaya dengan mana-mana maklumat di media sosial berhubung penemuan pesawat yang dikaitkan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia akan mengganggu emosi waris keluarga mangsa pesawat yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.
"Janganlah kita gunakan media sosial untuk menghancurkan hati keluarga mangsa dan ini adalah masanya untuk kita bersama sama melihat ini adalah masanya untuk kita selesaikan secara baik dan memulihkan semangat mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Mesyuarat Agung Persatuan Seni Silat Kota Sendeng, di sini, pada Ahad.
Pada masa sama, Mas Ermieyati menyeru orang ramai supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan perkara ini dengan lebih baik.
Beliau juga menjelaskan, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dan mengeluarkan kos yang besar bagi mendapatkan penyelesaian berkaitan insiden ini dan ini bukan sesuatu perkara yang mudah.
"Ini masanya untuk kita bersama-sama memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia. Saya yakin dan percaya kerajaan ada solusi untuk berhadapan dengan perkara ini," katanya.
Baru-baru ini, polis Sabah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bangkai pesawat di kepulauan di Selatan Filipina.
Sehingga kini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan penemuan bangkai pesawat itu yang dikatakan milik MH370.
Sebelum ini, satu laporan polis dibuat seorang lelaki bernama Jamil Omar di balai polis Sandakan yang mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal September lepas.
Lelaki berkenaan turut mendakwa ibu saudaranya menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178 sentimeter panjang dengan lebar 89 sentimeter.