MH370: Indonesia benarkan 94 pesawat guna ruang udara bagi pencarian
Astro Awani
April 1, 2014 14:21 MYT
April 1, 2014 14:21 MYT
Indonesia terus membantu kelancaran pencarian pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dengan mengeluarkan pelepasan penerbangan (flight penerbangan) kepada 94 pesawat dari sembilan negara untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lautan Hindi.
"Indonesia telah mengeluarkan 94 pelepasan penerbangan dari sembilan negara untuk membantu operasi SAR di Lautan Hindi," kata Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Kebenaran itu, kata Herman, menunjukkan bahawa Indonesia terus mendukung pencarian pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang dan hingga kini masih belum ditemui.
"Indonesia terus mendukung pencarian MH370 dan perkara itu ditunjukkan sejak awal pencarian, dengan mengirimkan kapal dan pesawat serta helikopter ke selat Melaka," katanya.
Katanya, Indonesia turut mengirimkan wakil khas ke Kuala Lumpur bagi mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Malaysia yang berkaitan dengan pencarian MH370.
Ketua wakil khas Indonesia, Wiwiek Setyawati Firman telah mengadakan pertemuan dengan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan Ketua Pegawai Esekutif MAS.
Wakil Khas kerajaan Indonesia diiringi Duta Besar Indonesia ke malaysia, Pengarah Asia Timur dan Pasifik dan beberapa wakil lain.
Tujuan kunjungan wakil khas kerajaan Indonesia ke Malaysia adalah untuk menyampaikan dukungan dan komitmen Indonesia untuk terus membantu Malaysia, menyampaikan perhatian keluarga penumpang MH370 dan meminta perkembangan terakhir operasi SAR pesawat tersebut.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama sejam itu, wakil khas Indonesia menyampaikan bahawa kerajaannya memahami kesulitan operasi SAR.
Di sisi lain, pihak keluarga dari tujuh penumpang berasal Indonesia meminta agar operasi pencarian dapat diteruskan sehingga ditemui bukti kukuh di mana pesawat MH370 berada.
Atas kunjungan ini, Hishammuddin menyampaikan rasa terima kasih kerajaan Malaysia kepada Indonesia atas sokongan yang telah diberikan sejak hari pertama operasi SAR dimulai.