MH370: India sertai misi mencari dan menyelamat
Bernama
Mac 12, 2014 09:05 MYT
Mac 12, 2014 09:05 MYT
Kapal Tentera Laut India yang membuat rondaan di Selat Melaka menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lepas.
Satelit Tentera Laut India Rukmini atau GSAT-7 juga diaktifkan untuk merekodkan apa-apa petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan pesawat yang hilang itu, lapor Media India.
Operasi SAR memasuki hari kelima hari ini.
Lebih 40 kapal dan 26 pesawat dari pelbagai negara menyertai operasi SAR selepas pesawat itu hilang secara misteri daripada radar pada 8 Mac.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk lima warganegara India dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.