MH370: Hishammuddin arah insiden kecoh di sidang media disiasat
Haider Yutim
Mac 20, 2014 08:00 MYT
Mac 20, 2014 08:00 MYT
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan siasatan terhadap insiden kekecohan melibatkan keluarga penumpang MH370 warga China di Hotel Sama-Sama di sini pada petang Rabu.
“Kita kesal dengan kejadian (kecoh) pada sidang media yang melibatkan sebilangan keluarga penumpang MH370.
“Kita hanya mampu membayangkan kesengsaraan yang mereka lalui. Malaysia sedang melakukan segala-gala dalam bidang kuasanya untuk mencari MH370 dan harap dapat memberi sedikit jawapan kepada mereka yang kehilangan keluarga,” katanya.
Hishammuddin juga merayu agar semua pihak memahami bahawa Malaysia sudah memberikan yang terbaik untuk merungkai misteri kehilangan MH370.
Beliau menjawab kritikan ahli keluarga penumpang dari China yang menuduh Malaysia bersikap sambil lewa dalam usaha mencari dan menyelamat.
Bilik sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini kecoh dengan kehadiran sekumpulan enam orang yang mendakwa mereka ahli keluarga penumpang dari China.
Kehadiran mereka mencuri tumpuan media asing dan tempatan yang siap sedia menunggu sidang media harian oleh Hishammuddin yang dijadual pukul 5.30 petang.
Menurut laporan, mereka tiba dan meluru masuk bilik sidang media itu pada pukul 4.45 petang.
Kumpulan itu membuka sepanduk bertulisan Mandarin sambil menangis dan meraung-raung. Ada di antara mereka yang melaung-laung meminta ahli keluarga mereka yang masih hilang dikembalikan sebelum dibawa keluar pihak keselamatan 10 minit kemudian.
Menurut seorang wartawan dari China, kumpulan tersebut kesal dengan tindakan kerajaan Malaysia yang didakwa lambat mendedahkan maklumat berkaitan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.