MH370: Hanya kenangan terindah bersama Patrick pengubat duka - Jacquita

Tan Su Lin
Mac 7, 2016 07:09 MYT
Tiada sehari berlalu tanpa Jacquita mengharapkan kepulangan suaminya Patrick. -Gambar Astro AWANI/Tan Su Lin
Dua tahun berlalu, tidak pernah sehari tanpa Jacquita Gonzales terkenangkan suaminya Patrick Gomez, bekas penyelia pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang bersama pesawat berkenaan sejak 8 Mac 2014.
Biarpun masih mengharapkan kepulangan orang tersayang, Jacquita juga sedar hidup harus diteruskan.
Namun untuknya meneruskan kehidupan, dia dan keluarga penumpang serta kru pesawat masih menunggu jawapan apa yang berlaku kepada pesawat malang itu.
Hanya dengan itu, kata Jacquita, waris dan keluarga mangsa MH370 mampu meneruskan kehidupan.
"Kami ingin meneruskan kehidupan seperti biasa; hanya itu yang kami mahu sebenarnya. Kami tidak boleh meneruskan keadaan sebegini setiap tahun. Ini sangat memenatkan dan juga tidak baik untuk kesihatan jiwa dan minda.
"Saya juga tidak suka berperasaan sedih seperti ini. Kami semua ingin kembali normal. Ia hanya boleh berlaku selepas kami mendapat jawapan sebenar," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.
Biarpun dengan penemuan beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat itu minggu lalu, perkembangan baharu itu tidak dapat mengubat rindu terhadap suaminya.
"Kami masih ingin tahu apa yang berlaku kepada pesawat berkenaan. Kami perlu tahu kebenarannya. Mengapa pesawat itu melencong ke sana (selatan Lautan Hindi) apabila ia sepatutnya terbang ke Beijing."
"Kami masih memerlukan jawapan itu. Ini bukan hanya mengenai penemuan pesawat dan selepas itu habis cerita. Kami perlu tahu mengapa," ujar Jacquita.
Kekuatannya hanyalah untuk kelangsungan hidup buat empat orang anak dan cucunya Raphael yang berusia lima tahun.
"Jadi apa yang kami lalui sepanjang dua tahun ini adalah perkara sama sebelum ini, seperti sambutan hari jadi, sambutan meraikan ulang tahun masih diteruskan. Anak perempuan kedua saya juga baru berkahwin awal tahun ini. Itu sebenarnya detik paling sukar untuk saya kerana berdepan perasaan yang bercampur baur.
"Sepatutnya, sebagai ibu bapa, saya dan Patrick patut hadir pada majlis perkahwinan anak saya, tetapi Patrick tidak ada. Jadi agak sukar bagi saya mengharungi hari itu." katanya.
Tiada sehari berlalu tanpa Jacquita mengharapkan kepulangan suaminya itu walaupun hanya sekelumit memori indah bersama Patrick yang menjadi kekuatan buat dirinya.
"Saya ada termimpi kenangan lalu seperti hari saya berkahwin, ketika saya bersama anak-anak dan Patrick. Semua mimpi ini adalah imbasan kembali kepada kenangan waktu dahulu.
"Semua kenangan yang indah... hanya yang indah," katanya mengakhiri perbualan.
#Jacquita Gonzales #Malaysia Airlines #MH370 #Patrick Gomez #ulang tahun kedua
;