MH370: Guna acuan sama cari pesawat di Pulau Reunion - Hishammuddin

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 6, 2015 14:12 MYT
Hishammuddin yakin jawatankuasa Malaysia yang diwujudkan bagi pencarian pesawat itu bersama China dan Australia akan menimbangkan cadangan ini.
Pencarian pesawat MH370 di Pulau Reunion boleh menggunakan acuan (template) yang sama seperti digunakan sebelum ini dalam mencari misi pesawat berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata beliau yakin jawatankuasa Malaysia yang diwujudkan bagi pencarian pesawat itu bersama China dan Australia akan menimbangkan cadangan ini.
"Apa yang kita lakukan dah setahun lebih ni sedikit sebanyak kita dapat melihat sedikit closure tetapi banyak lagi yang kita nak lakukan kerana pengesahan debris sahaja tidak menentukan di mana pesawat berada," katanya pada sidang media pemakaian pangkat kehormat di Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, hari ini.
Beliau juga berkata, yang paling penting ketika ini ialah misi mencari kotak hitam bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat terbabit.
VIDEO: Sidang akhbar pengesahan serpihan pesawat di Pulau Reunion sah milik MH370
FOTO: Debaran sekitar pengumuman Perdana Menteri flaperon milik MH370
BACA: Serpihan di Pulau Reunion sah milik MH370. Apa yang telah diketahui
Ditanya mengenai adakah Kerajaan Malaysia akan menghantar aset bagi mencari pesawat MH370 di Pulau Reunion, Hishammuddin menjelaskan, tidak perlu menghantar aset ke sana kerana kemungkinan pesawat malang itu tidak berada di pulau itu.
Ia kerana kejadian kehilangan pesawat berkenaan sudah berlaku lebih daripada setahun.
Beliau juga percaya, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan pakar-pakar dari negara lain khususnya China dan Australia sedang mempertimbangkan untuk mengecilkan kawasan pencarian MH370 di Pulau Reunion susulan penemuan serpihan pesawat MH370 di sana.
Hishammuddin juga menambah, tumpuan yang harus diberikan ketika ini adalah kepada keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines terbabit tidak kira dari Malaysia atau negara lain.
Pada masa sama, Hishammuddin turut menasihatkan petugas media tidak menemui keluarga mangsa MH370 buat masa ini kerana dikhuatiri mengganggu emosi mereka.
#Hishammudin Hussein #MH370 #reunion
;