MH370: Grace tidak pernah lupa perbualan terakhir dengan ibu

Mariah Ahmad
Mac 9, 2015 08:30 MYT
GRACE : Ibu bangga dengan awak dan ibu sayang awak, itu antara kata-kata terakhir ibu. Dia adalah segalanya kepada saya. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Grace Subathirai Nathan, 27, tidak akan pernah lupa detik satu jam perbualan terakhir bersama ibunya, Anne Daisy, 56, yang merupakan antara mangsa tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 pada 8 Mac tahun lalu.
"Ketika itu ibu sedang bergegas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengejar penerbangannya ke Beijing.
"Kami berborak dalam kira-kira sejam. 'Ibu bangga dengan awak dan ibu sayang awak' kata ibu. Bagi saya, ibu adalah segalanya kepada saya. Saya rindukannya setiap hari, saya menangis setiap hari," ujar Grace.
Grace ketika itu sedang memberikan satu ucapan 'Woman On Board' sebagai tanda memperingati ibunya sempena Hari Wanita Sedunia dalam majlis 'Hari Memperingati MH370' di The Square Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur.
Gadis bertubuh kecil ini tabah untuk cuba menyorokkan tangisan kerinduan terhadap ibunya ketika berucap di hadapan kira-kira lebih 200 hadirin.
"Saya rindukannya setiap hari, saya menangis setiap hari," ujar Grace yang cuba menyembunyikan tangisan kerinduan terhadap ibunya di hadapan lebih 200 hadirin di The Square, Publika, Jalan Dutamas Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Tidak menahan sebak, air mata Grace kemudiannya jatuh ke bumi, tatkala dia cuba merungkap satu persatu sifat keibuan Anne yang sentiasa menemaninya apabila mereka berdua berjauhan.
"Saya selalu ditemu ramah oleh beberapa media pada beberapa minggu lepas. Namun saya tidak pernah cerita mengenai perasaan saya. Suatu ketika dahulu, saya tidak serapat dengan keluarga saya seperti sekarang ini kerana dulu saya bersekolah di asrama dan duduk bersama datuk dan nenek saya.
"Namun pada tahun 2010, ia menjadi satu detik perubahan yang membawa satu keakraban yang rapat antara saya dan ibu.
LAPORAN KHAS : SETAHUN MH370
"Saya menyambung pengajian peringkat Sarjana saya di United Kingdom (UK) pada ketika itu. Setiap hari, saya menantikan panggilan Skype ibu kerana perbualan bersama ibu itulah menyinari kehidupan seharian saya di sana, " tambah Grace.
Majlis memperingati MH370 ini diadakan oleh Grace bersama waris penumpang MH370 yang lain di bawah nama kumpulan Voice370.
Grace bersama ahli keluarga dan sanak saudara mangsa insiden kehilangan pesawat MH370 di 'Majlis Memperingati MH370' di The Square Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Sebelum Grace memberi ucapannya, video mesej adiknya Azelia Nathan, 22 ditayangkan untuk tontonan khalayak majlis.
Antara yang terkandung dalam video itu adalah keyakinan dan kepercayaan Azelia bahawa ibu mereka akan pulang nanti satu hari nanti.
"Ibu, saya merindui ibu yang teramat sangat. Ibu sentiasa percaya kepada saya dan ibu sentiasa memberi inspirasi kepada saya. Saya tidak akan berputus harapan untuk menunggu kepulangan ibu," kata Azelia dalam video mesej itu.
Walaupun perbualan sejam terakhir sebelum terpisah dengan ibunya masih mekar dalam memori, Grace juga bercerita saat dia pertama kali menerima berita pahit itu.
"Saya ketika itu bersendirian di UK. Ayah menghubungi saya dan meminta saya untuk mengambil tiket penerbangan untuk pulang ke tanah air. Banyak perkara berlari di benak fikiran saya apabila mendengar suara ayah yang terketar-terketar itu. Saya dapat rasa ia ada kaitan sama ada ibu saya atau adik saya.
"Selepas mendapat berita itu, saya terkesima. Saya melihat garis waktu di laman sosial. Hati saya sakit dan pedih apabila orang ramai membuat spekulasi kapal terbang itu ditemuilah, mayat mangsa ditemuilah.
"Luluh hati saya. Saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, walaupun kini sudah satu tahun. Saya masih tidak tahu," luah Grace yang masih teguh berdiri untuk bercerita walau teresak-esak mengelap air mata yang bergenan dipipinya.
Grace terus menyambut pelukan ayahnya sejurus selepas dia memberi ucapan tribut kepada ibunya di The Square, Publika, Kuala Lumpur - Foto ASTRO AWANI / MARIAH AHMAD
Tidak dapat menahan sebak perasaan, air mata Grace gugur ketika berpelukan dengan saudaranya - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Anne Daisy bersama 239 penumpang yang lain menaiki pesawat jenis Boeing 777-200ER yang dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi.
Namun begitu ia hilang dari pemantauan radar awam Malaysia pada jam 1.30 pagi ketika ia mendekati sempadan ruang udara Vietnam. Walau bagaimanapun, tiada komunikasi antara pesawat dengan pusat kawalan trafik udara (ATC) Vietnam selepas itu.
Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.
#ANNE DAISY #GRACE NATHAN #Lim Kit Siang #Malaysia Airlines #Marina Mahathir #MAS #MH370
;