MH370: Fariq rancang berkahwin dengan juruterbang AirAsia

T K Letchumy Tamboo
Mac 18, 2014 08:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pembantu juruterbang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Fariq Abdul Hamid, telah merancang untuk berkahwin dengan juruterbang syarikat penerbangan AirAsia Nadira Ramli.
Menurut satu laporan akhbar Sabah, Daily Express, Fariq dan Nadira telah mengenali satu sama lain selama lebih sembilan tahun iaitu sejak belajar bersama di sebuah sekolah penerbangan di Langkawi.
Ia dilaporkan bahawa Nadira, 26, turut diberi cuti selama sebulan oleh majikannya untuk bersama-sama keluarga Fariq di saat-saat menunggu khabar nasibnya dan pesawat MH370 yang hilang.
Nadira kini berada di samping ibu Fariq di sebuah hotel di Kuala Lumpur sementara menunggu khabar berita terbaharu mengenai Fariq.
Mengungkap kata-kata seorang ahli saudara, laporan itu berkata Nadira tenang menghadapi dugaan ini dan menjadi "tiang kekuatan" untuk ibu Fariq yang dikatakan tidak tidur selama tiga hari.
Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.
Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut dan ia masih belum ditemui lagi.
#Beijing #Fariq Abdul Hamid #MH370 #Nadira Ramli
;