MH370: Dua pesawat C-130 TUDM sertai operasi kesan serpihan
Astro Awani
Mac 31, 2014 08:01 MYT
Mac 31, 2014 08:01 MYT
Dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyertai operasi antarabangsa mencari MH370 berlepas dari Perth ke lokasi beberapa imej dikesan satelit.
Ketua Tentera Laut Australia, Naib Laksamana Ray Griggs memaklumkan fokus pencarian tertumpu kepada usaha mengesan sebarang serpihan yang mungkin ada kaitan dengan MH370.
Enam kapal kini telah berada di selatan Lautan Hindi bagi mencari sebarang serpihan dan ia turut dibantu 10 pesawat termasuk P3 Orions Australia, pesawat P3 Jepun, Ilyushin Il-76 dari China dan Poseidon Amerika Syarikat.
Kapal ADV Ocean Shield milik Tentera Laut Diraja Australia pada Ahad dipasang dengan pengesan kotak hitam dari tentera laut Amerika Syarikat.
Kapal terbabit akan berlepas dari pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling pada Isnin bersama krew seramai sebelas orang dan akan mengambil masa tiga hari untuk tiba di kawasan pencarian.