MH370: Dakwaan tiga objek di Laut China Selatan curi tumpuan hari ke-6
Syafique Shuib
Mac 14, 2014 08:07 MYT
Mac 14, 2014 08:07 MYT
Tiga objek yang terapung di perairan Laut China Selatan yang ditemui satelit negara China mencuri tumpuan setelah misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 memasuki hari ke-6 pada Khamis.
Walaubagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan bahawa tiada objek ditemui. Kedutaan China di Malaysia juga berkata gambar berkenaan merupakan satu kesilapan dan tidak menunjukkan apa-apa serpihan seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak media.
Susulan itu, Hishamuddin menegaskan bahawa maklumat yang tidak disahkan hanya akan menjejaskan dan melambatkan operasi pencarian dan penyelamatan (SAR).
Berikut adalah antara perkembangan yang berlaku hari ini:
- Menurut, laporan berita saluran CNN, satelit negara China mendakwa menemui tiga objek yang terapung di perairan Laut Cina Selatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Boeing 777 - MH370 Sabtu lalu.
- Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menghantar pesawat pelbagai guna Bombardier ke Laut China Selatan.
- Laporan Reuters memetik kenyataan Ketua Penerbangan Awam China, Li Jianxiang yang berkata tidak ada bukti tiga objek terapung yang dikesan satelit China di Laut China Selatan berkaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.
- Pada sidang media, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan bahawa tiada objek ditemui. Beliau juga menegaskan bahawa maklumat yang tidak disahkan hanya akan menjejaskan dan melambatkan operasi pencarian dan penyelamatan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.
- Beliau juga menafikan sebuah laporan media yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan terbang selama empat jam daripada lokasi dan waktu terakhir ia dikesan.
- Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta semua pihak supaya tidak menuding jari menyalahkan sesiapa berhubung kehilangan pesawat MH370 kerana ia tidak membantu merungkaikan misteri insiden itu.
- Latar belakang lelaki etnik Uyghur yang menaiki penerbangan MH370 menjadi tumpuan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa Interpol berbanding penumpang lain.
- Menteri Dalam Negeri KDN Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata tiada tindakan tata tertib terhadap empat pegawai Imigresen yang bertugas sewaktu memeriksa dua invidividu yang menggunakan passport curi kerana telah mengikut Standard Operasi dan Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan.
- Malaysia Airlines (MAS) akan menghentikan penggunaan kod pesawat MH370 dan MH371 untuk laluan penerbangan Kuala Lumpur- Beijing-Kuala Lumpur.