MH370: Dakwaan penyelia kawalan udara tidur disiasat - Liow

Astro Awani
Mac 12, 2015 21:44 MYT
LIOW: Kita akan siasat dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud salah laku.
Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat laporan yang mendakwa penyelia kawalan di Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tidur sewaktu dihubungi empat jam selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang dari radar pada 8 Mac tahun lalu.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya mengambil serius dakwaan itu.
"Ini adalah serius. Kita akan siasat dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud salah laku," kata Liow yang dipetik beberapa portal berita hari ini.
Liow berkata demikian ketika menghadiri satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di ibu negara siang tadi.
Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat kerja kumpulan akan diadakan bulan ini yang terdiri daripada wakil-wakil dari China, Australia dan Malaysia berhubung kehilangan pesawat MH370 dan ini disusuli dengan mesyuarat peringkat negeri pada April.
Perbincangan antara lain bagi meneliti semula usaha pencarian dan menentukan apakah langkah-langkah lanjut yang akan diambil.
Laporan interim penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada Ahad mendedahkan satu panggilan telefon telah dibuat di antara pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur dan bilik operasi MAS mendapati pegawai terbabit tidur selepas pesawat MH370 hilang dari radar.
Pada ketika itu, pusat kawalan udara di Ho Chi Minh telahpun mengesahkan ia tidak lagi dapat mengesan pesawat malang terbabit selepas pihak penerbangan awam Vietnam cuba menghubungi pesawat itu selama 20 minit.
Bilik operasi MAS pula dikatakan telah bertanyakan bilik kawalan Kuala Lumpur sama ada telah berjaya melepaskan tanggungjawab kepada pihak Vietnam, tetapi pegawai yang bertugas memaklumkan dia baharu sahaja masuk bertugas dan perlu mengejutkan penyelia terbabit untuk memastikannya.
Laporan interim itu juga, antara lain, menyatakan pasukan penyiasat telah menemu bual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan.
Antara yang ditemu bual ialah petugas Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain.
Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
#DCA #ICAO #interim #laporan #Liow Tiong Lai #Malaysia Airlines #MAS #MH370
;