#MH370 bukan lagi tajuk utama di garis masa media sosial - penganalisis

Syafique Shuib
Mac 22, 2014 15:35 MYT
Graf yang menunjukkan tweet yang menggunakan hashtag #MH370. Sumber: Topsy.com
Ramai masih bersimpati dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak 8 Mac, namun perbincangan di media sosial seperti Twitter sudah mula kembali kepada seperti biasa.
"Pada minggu pertama, garis masa pengguna media sosial di Malaysia mungkin dipenuhi dengan berita tentang MH370. Buka sahaja Twitter, pasti perbincangan tertumpu kepada pesawat ini.
"Ia berbeza pada minggu kedua ini. Walaupun orang masih bersimpati dengan isu ini, namun nampaknya orang sudah kembali ke asal untuk berkongsi tentang-tentang cerita dan berita lain. Topik MH370 bukan lagi topik utama di media sosial," kata pengurus besar Zeno Group Malaysia David Lian yang memantau trend di media sosial.
Tambah beliau, cara perbualan juga sudah berbeza. Pada minggu pertama, banyak spekulasi dan teori yang timbul di media sosial namun ia berjaya dikawal.
Pada minggu kedua, David berkata terdapat tiga corak perbualan.
"Pertama, banyak yang bersimpati menerusi hashtag #PrayForMH370. Ada banyak tweet yang memberi sokongan kepada Malaysia Airlines juga.
"Kedua, ada juga yang begitu negatif terutama sekali penggua media sosial luar negara. Mereka meragui tentang cara Malaysia berdepan dengan krisis ini dan membayangkan seolah-olah kita menyorok maklumat. Namun dengan adanya sidang media oleh pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, ia sedikit sebanyak membantu untuk mengatasi mesej-mesej negatif," katanya.
Tambah David, fokus kepada ahli keluarga juga sudah berkurangan. Jelasnya, sebelum ini ahli keluarga ada juga tweet namun pada minggu kedua ini, ia sudah berkurangan.
David turut berkata insiden ini turut mempunyai impak yang besar di seluruh dunia.
"Berita tentang pesawat hilang akan tetap menjadi perhatian umum. Ia dari segi aspek kemanusiaan. Manusia memang ada sikap ingin tahu dan bersimpati jadi tidak hairan ia juga mendapat perhatian di luar negara," akhiri beliau.
Untuk rekod, aplikasi telefon pintar Astro AWANI juga pernah menduduki tangga ketiga aplikasi paling popular di iTunes Malaysia sewaktu berita mengenai kehilangan pesawat itu mendapat perhatian dunia.
##MH370 ##PrayForMH370 #Boeing 777-200 #David Lian #Malaysia Airlines #MH370 #social media #Twitter
;