MH370 : Benarkan pihak lain ketuai misi pencarian - Pakar

Bernama
Ogos 1, 2018 22:00 MYT
Laporan 449 lembaran itu bukan merupakan laporan terakhir bagi pencarian pesawat yang hilang itu tetapi hanya meliputi siasatan keselamatan dan berasingan daripada pencarian dan siasatan kehakiman. - Gambar fail
Waris kepada mangsa Penerbangan Malaysia Airlines MH370 perlu mengambil tindakan selanjutnya dengan secara rasminya meminta ataupun memberikan peluang kepada organisasi bebas atau pihak lain untuk terus mencari pesawat yang hilang itu.
Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata pihak lain seperti ahli akademik atau pakar dengan sumber antarabangsa yang luas mahupun kecil, dan kaedah metodologi untuk melakukan analisis dan kebarangkalian yang lain, mungkin akan memberikan keputusan yang berbeza mengenai kejadian pesawat Boeing 777 -200ER itu.
"Perbezaan ini sebenarnya bersifat positif kerana ini akan memberi kita pendekatan yang berbeza atau yang belum dicuba untuk mencari pesawat tersebut, yang mana ini mungkin satu pendekatan di luar kotak," katanya kepada Bernama.
Dua hari lepas, penyiasat utama, Datuk Kok Soo Chon dilaporkan berkata, pasukan penyiasat keselamatan bagi MH370 tidak dapat menentukan sebab sebenar kehilangan pesawat malang itu setelah mengenal pasti tujuh teori munasabah termasuk teori konspirasi, khabar angin dan gosip dalam media sosial.
Kok juga berkata, laporan 449 lembaran itu bukan merupakan laporan terakhir bagi pencarian pesawat yang hilang itu tetapi hanya meliputi siasatan keselamatan dan berasingan daripada pencarian dan siasatan kehakiman.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengulangi bahawa aspirasi untuk menemukan MH370 tidak pernah diabaikan ekoran laporan Pasukan Penyiasat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO terhadap siasatan keselamatan MH370 tidak dapat menentukan sebab kehilangan pesawat itu empat tahun lepas.
Pada bulan Mei, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia menghentikan misi mencari selepas carian selama tiga bulan yang dijalankan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika secara rasmi berakhir tanpa menemui sebarang bukti baru.
Mengulas lanjut, Mohd Harridon berkata misteri MH370 telah menarik banyak minat, terutamanya pihak luar yang mahu menyelesaikannya.
"Sebagai contoh, sebuah organisasi yang dikenali sebagai Shipwreck Explorer yang menjadikan kehidupan mereka untuk menjelajah lautan bagi mencari kapal yang hilang atau bangkai kapal dengan menggunakan sumber sendiri dan kita harus mengalu-alukan inisiatif ini kerana ianya suatu yang positif untuk membantu mencari MH370," katanya.
Berkaitan laporan itu, Mohd Harridon berkata, dalam beberapa cara, laporan itu boleh menjadi contoh untuk mengenal pasti kekurangan tertentu yang ada dalam ekosistem penerbangan dan contoh ini akan menjadi sesuatu yang baik untuk pemain industri melihatnya dalam semangat meningkatkan lagi tahap keselamatan dalam industri penerbangan.
Tegas beliau, walaupun mungkin data daripada bahagian terakhir pesawat tersebut berjaya dikeluarkan ataupun ditemui masih terdapat kemungkinan punca sebenar tidak akan dapat diketahui disebabkan terdapatnya pelbagai faktor lain.
"Mungkin penting untuk mencari motif atau punca kejadian itu," katanya dan menambah bahawa laporan yang diterbitkan itu mengandungi analisis yang sangat baik dan secara teknikalnya apa yang berlaku di mana pesawat itu hilang tanpa diketahui lokasi kedudukannya persemadiannya yang terakhir.
Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata pasukan penyiasat telah melakukan yang terbaik sepanjang empat tahun ini walaupun tidak memberikan penutup seperti yang dinantikan waris.
"Pendapat saya, memang tidak dapat dikesan punca kerana banyak sebab dan salah satunya adalah tiadanya kotak hitam. Dengan tiadanya bukti utama yang lain, maka sukar untuk pasukan penyiasat membuat sebarang konklusi yang konkrit," katanya.
Dalam pada itu, bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata waris pesawat malang itu perlu menerima hakikat dan kenyataan bahawa pesawat tersebut telah diterbangkan secara manual.
"Apa punca pesawat tersebut diterbangkan dalam keadaan tersebut mungkin tidak akan diketahui dalam masa terdekat. Mungkin tidak akan diketahui sepanjang hayat kita. Yang tentu, ianya diterbangkan oleh seseorang.
"Waris perlu menerima kenyataan tersebut, sebab kita tidak ada bukti fizikal pesawat tersebut selain serpihan yang hanyut. Kalau jumpa pun pesawat tersebut, bagaimana hendak kita tentukan motif?," katanya.
Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, sebahagian besarnya terdiri daripada warga China.
-- BERNAMA
#Beijing #Boeing #China #Mahathir Mohamad #Malaysia #Malaysia Airlines #mangsa #MH370 #penerbangan #Perdana Menteri #siasatan
;