MH370: Bateri isyarat pengesan mampu bertahan selama 30 hari - MAS

Media Statement
Mac 9, 2015 19:20 MYT
MAS: ULB masih berfungsi pada hari yang sama ketika malang menimpa MH370 pada 8 Mac, 2014.
Bateri pada isyarat pengesan dasar laut (ULB) serupa yang dipasang bersama Solid State Cockpit Voice Recorder (SSCVR) dapat membekalkan kuasa yang mencukupi untuk menghantar isyarat selama 30 hari di dalam air.
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan berkata ULB yang dipasang pada pesawat MH370 masih berfungsi pada hari ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.
Kenyataan itu sebagai respon kepada laporan interim yang dikeluarkan semalam berhubung siasatan kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370.
BACA KENYATAAN INTERIM DI SINI
MAS juga menjelaskan konsainan bateri lithium-ion Motorola telah diperiksa secara fizikal oleh kakitangan MASKargo di Pulau Pinang serta inspektor Kastam sebelum dihantar ke Kompleks Kargo Pulau Pinang.
ULB direka untuk menghantar isyarat jika berlaku kemalangan di dalam air.
Syarikat itu mengesahkan bahawa prosedur pemeriksaan yang dijalankan ke atas bateri itu selaras dengan kaedah yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Sistem Penyelenggaraan Kejuruteraan tidak dikemas kini dengan betul apabila bateri ULB itu mula-mula dipasang. Ini adalah kesilapan penjadualan penyelenggaraan, kata MAS.
"CVR dipasang bersebelahan dengan Solid State Flight Data Recorder (SSFDR) di rak E7 Avionik ... bateri SSCVR sepatutnya menghantar isyarat selama 30 hari sejurus pengaktifan apabila terendam di dalam air," menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata ia sentiasa menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan sejak awal lagi, dan akan terus berbuat demikian.
MAS juga berkata ia telah mengambil beberapa langkah penting untuk meningkatkan keselamatan selepas kehilangan pesawat MH370.
Ia juga secara konsisten telah mematuhi standard yang diperakui program Audit Keselamatan Operasi (IOSA) oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Semalam, laporan penyiasatan-keselamatan interim ICAO menyatakan bahawa bateri dalam salah sebuah perakam data di dalam pesawat MH370 mungkin telah tamat tempoh lebih daripada setahun sebelum pesawat itu hilang, menurut laporan CNBC.
Laporan itu menyebut bahawa bateri SSFDR ULB itu telah tamat tempoh pada Disember 2012 dan tidak ada bukti menunjukkan bahawa bateri itu telah digantikan.
#bateri #IATA #ICAO #laporan interim #lithium-ion #MAS #MASkargo #MH370 #ssfdr #ulb
;