MH370: Ahli keluarga berharap kerajaan telus, pencarian diteruskan
Madiha Abdullah
Mei 30, 2018 11:45 MYT
Mei 30, 2018 11:45 MYT
Ahli keluarga mangsa MH370 mengharapkan kerajaan baharu Malaysia tetap komited dalam mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat itu.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh kumpulan Voice370, mereka berharap pencarian pesawat malang itu menjadi antara keutamaan kerajaan Pakatan Harapan dalam agenda 100 hari pentadbiran mereka.
Dalam kenyataan itu, tiga perkara yang digariskan sebagai permintaan utama, antaranya penerbitan laporan komprehensif dan telus mengenai dokumen berkaitan dan menjalankan siasatan ke atas pemalsuan atau penghapusan rekod berkaitan kepada MH370 serta pengurusannya.
"Kami juga menyeru kerajaan untuk melibatkan Voice370 dalam dialog yang berterusan dan perundingan mengenai pencarian dan penyiasatan berkenaan MH370, dan mengenai isu yang berkaitan terutama jika pencarian semasa tidak berhasil," kenyataan itu menyebut.
Danica Weeks, yang kehilangan suaminya Paul dalam tragedi itu berharap laporan yang mengatakan pencarian itu akan dihentikan adalah tidak benar dan meminta campur tangan Menteri Luar Australia, Julie Bishop untuk berhubung dengan kerajaan Malaysia.
"Pencarian tidak boleh ditamatkan. Kami mahukan kebenaran.
"Kami hilang ahli keluarga, ia tidak boleh berakhir tanpa sebarang penjelasan," kata Weeks seperti yang dilaporkan portal airlineratings.com.
Weeks merujuk kepada kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam temu ramah bersama radio ABC yang didakwa ramai seolah-olah menghantar mesej mahu pencarian ditamatkan.
"Kami faham perasaan ahli keluarga mangsa tetapi (pencarian) sudah empat tahun, rasanya sudah tiba masa untuk mencari penutup," kata Loke dalam temu ramah itu.
KS Narendran, yang kehilangan isterinya Chandrika, turut berkongsi sentimen yang sama. Dalam entri di Facebook, penulis buku "Life After MH370: Journeying Through A Void" itu beranggapan penamatan pencarian sebagai satu 'pengkhianatan'.
"Perkataan 'penutup' itu sesuatu yang sangat beremosi bagi kami. Ia menjadi pemisah antara harapan dan kekecewaan, di mana kami perlu mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang kami sayangi tapi tiada jawapan terhadap apa yang terjadi," tulisnya.
Syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity semalam telah pun menamatkan pencarian pesawat Malaysia Airline MH370, susulan penamatan kontraknya pada 29 Mei, seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri.
Namun sama ada pencarian itu akan diteruskan atau tidak, ia belum diputuskan dan Loke dijangka akan membuat sidang media berkenaan misi pencarian MH370 hari ini.
#Anthony Loke
#Australia
#Danica Weeks
#GRACE NATHAN
#hilang
#kerajaan
#KS NARENDRAN
#Malaysia
#Menteri Pengangkutan
#MH370
#pesawat