MH370: 2 tahun berlalu, keluarga harap jawapan di sebalik penantian
Harits Asyraf Hasnan
Mac 7, 2016 09:58 MYT
Mac 7, 2016 09:58 MYT
Ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 berharap supaya kerajaan Malaysia memberi penjelasan serta bukti kukuh berkenaan kehilangan pesawat tersebut.
Ibu kepada pramugara MH370 Hazrin Hasnan, Zainab Mohd Ariffin berkata kerajaan seharusnya menampilkan bukti yang kukuh setelah mengumumkan bahawa pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi.
"Sebenarnya apa yang kerajaan telah katakan di mana kapal terbang itu (MH370) berakhir di Lautan Hindi, maka mereka (kerajaan) harus bertanggungjawab membuktikan di mana yang dikatakan berakhir itu.
"Sekurang-kurangnya mesti ada bukti. Kalau kerajaan berani kata kapal terbang itu berakhir di Lautan Hindi, maka sekurang-kurangnya buktikan kepada kami yang masih menunggu ini.
"Tak akan kapal terbang yang sebesar itu hilang begitu sahaja tanpa sebarang bukti?" kata Zainab pada majlis Memori MH370 di sini semalam.
Zainab pada masa sama mengharapkan supaya kerajaan memberi perhatian khusus kepada waris mangsa terutama melibatkan penyampaian maklumat.
"Saya rasa wujud kelemahan pada kerajaan. Saya rasa sedih dengan tindakan yang mereka lakukan pada masa kini. Mereka (kerajaan) sering bagi kita omong-omong kosong. Walaupun pelbagai perkara mereka buat, tapi tiada apa-apa hasil.
"Kami (waris) ini bergantung kepada media untuk mendapatkan maklumat. Bagi saya kerajaan perlu beri fokus dalam penambahbaikan komunikasi terhadap para waris," katanya.
Bagaimanapun, beliau sebagai ibu redha dengan ketentuan Tuhan namun masih jauh di sudut hatinya mengharapkan bukti yang kukuh.
Sementara itu, Zamani Zakaria, bapa kepada mangsa MH370, Mohd Razahan Zamani mengakui setelah dua tahun tragedi tersebut, beliau yakin anaknya masih hidup.
"Tidak adalah mimpi yang bukan-bukan. Cuma bila duduk sendirian, teringat sangat dekat dia (Mohd Razahan). Bapa mana yang tidak sayangkan anak.
"Tapi jauh di sudut hati saya, saya percaya dan yakin anak saya masih hidup. Saya redha dengan ketentuan Allah, tapi jika benar pesawat itu berakhir di Lautan Hindi, tunjukkan bukti," katanya pada majlis tersebut.
Malah, setelah dua tahun tragedi itu berlaku, masih ada ahli keluarga mangsa MH370 mengalami tekanan perasaan dan selain terpaksa berhenti kerja.
Salah seorang anak mangsa, Jiang Hui dari China mengakui mengalami tekanan sejak kehilangan ibunya, Jiang Cui Yun yang berusia 62 tahun.
Jiang berkata dia kehilangan kerjayanya sebagai jurutera IT beberapa bulan lalu susulan tragedi tersebut.
"Saya telah kemukakan tindakan perundangan terhadap Malaysia Airlines. Ini bukan soal duit, tapi mencari jawapan terhadap satu misteri.
"Saya mahu ibu saya tahu bahawa saya tidak akan menyerah kalah untuk membela nasibnya," katanya pada majlis tersebut.
Majlis Memorial MH370 dengan tema, 'Dua Tahun Tragedi: Siasat semula, Menilai semula dan Mula semula' itu dihadiri bukan sahaja waris malah orang ramai yang memperingati tragedi tersebut.
#keluarga dan waris harap bukti kukuh daripada kerajaan
#Lautan Hindi
#misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370