MH19 yang alami kerosakan tandas selamat tiba di KLIA
Bernama
September 3, 2015 16:49 MYT
September 3, 2015 16:49 MYT
Pesawat Malaysia Airlines MH19, yang dilaporkan membuat pendaratan di luar jadual di India pada awal Khamis kerana kerosakan tandas, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini pagi ini.
Skrin maklumat penerbangan di KLIA menunjukkan pesawat itu, yang berlepas pada 12.08 tengah hari Rabu dari Amsterdam, Belanda, mendarat di KLIA pada 10.37 pagi.
Sebelum ini, skrin berkenaan menyiarkan makluman bahawa ketibaan MH19 mengalami kelewatan.
Pesawat itu dijadualkan mendarat di KLIA pada 6.10 pagi Khamis.
Seorang daripada penumpang pesawat berkenaan, Hilda Jekel, yang ditemui di balai ketibaan KLIA, berkata semua penumpang kelihatan tenang ketika juruterbang mengumumkan MH19 akan melakukan pendaratan di luar jadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai.
Jekel, yang bercuti bersama suaminya, Jack Vendenburg, ke Malaysia, berkata pada mulanya, juruterbang pesawat itu merancang untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, tetapi kerana sebab tertentu, mendaratkannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai.
"Para penumpang tidak panik, cuma sesetengahnya bersungut tentang kelewatan yang dialami.
"Kami dimaklumkan bahawa kesemua enam tandas berfungsi dengan baik ketika pesawat itu berlepas. Bagaimanapun, selepas itu, tiga daripadanya tidak boleh digunakan dan beberapa jam kemudian, kesemuanya tidak boleh digunakan. Ketika itu, penerbangan akan mengambil masa beberapa jam lagi.
"Itulah sebabnya juruterbang membuat keputusan untuk melakukan pendaratan di luar jadual," katanya.
Jekel berkata kesemua penumpang kekal di tempat duduk masing-masing di dalam pesawat itu sementara menungggu tandas disiap diperbaiki selama kira-kira sejam.
MH19 adalah tanda pengenal baharu bagi penerbangan Malaysia Airlines untuk laluan Amsterdam-Kuala Lumpur setelah MH17 tidak lagi digunakan apabila pesawat dengan tanda pengenalan sama ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya.