MH17: Waris mangsa akan dipanggil selepas laporan akhir siasatan keluar Oktober ini - Liow

Astro Awani
Ogos 30, 2015 15:58 MYT
Lembaga Keselamatan Belanda baru-baru ini mengumumkan bahawa laporan akhir nahas pesawat MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine tahun lalu, akan diterbitkan pada 13 Oktober depan. - Gambar Fail
Kesemua waris mangsa akan dipanggil untuk sesi taklimat, sebaik sahaja laporan akhir siasatan berhubung nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 diumumkan awal bulan Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sesi taklimat akan memberi penerangan teliti kepada waris tentang apa sebenarnya yang terjadi.
Tambahnya, Malaysia berharap Pasukan Siasatan Bersama (PSB) yang ditubuhkan akan dapat meneruskan siasatan dari aspek jenayah berdasarkan laporan lengkap tersebut.
"Buat masa ini, kerajaan bersama PSB sedang mempertimbangkan pilihan untuk mewujudkan platform bagi mendapatkan keadilan di institusi kehakiman peringkat antarabangsa," kata Liow.
Lembaga Keselamatan Belanda baru-baru ini mengumumkan bahawa laporan akhir nahas pesawat MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine tahun lalu, akan diterbitkan pada 13 Oktober depan.
Laporan itu amat dinantikan pihak kerajaan dan keluarga mangsa kerana dapat merungkai persoalan siapa yang bertanggungjawab menyebabkan pesawat itu terhempas pada Julai tahun lalu dan mengorbankan 298 orang dan anak kapal.
Dalam laporan awal tahun lalu, Lembaga Keselamatan Belanda (Dutch Safety Board) menyatakan punca nahas disebabkan "objek berkuasa tinggi" yang terkena pesawat berkenaan.
#lembaga keselamatan belanda #Liow Tiong Lai #Malaysia Airlines #MH17
;