MH17: Waris keluarga terkorban masih harapkan pembelaan
Wanna Abd Rahim
Januari 26, 2023 21:00 MYT
Januari 26, 2023 21:00 MYT
KOTA BHARU: "Kami sekeluarga ingin membela nasib cucu kami," demikian luahan Daud Abdul Kadir, 88, datuk kepada pembantu juruterbang pesawat MH17 Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi, yang terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh dengan peluru berpandu buatan Rusia pada 2014 di Ukraine.
Menurut Daud, dia berharap agar perkembangan mengenai kes berkenaan yang dibicarakan di peringkat antarabangsa dapat dimaklumkan kepada mereka dari semasa ke semasa.
"Selepas beberapa tahun, kami masih bersedih dengan kehilangan cucu. Kami berharap semua pihak dapat membantu memberi keadilan kepada semua keluarga mangsa yang terkorban agar si pelakunya dihukum.
“Arwah tinggalkan anak yang masih kecil dan kami hanya dapat mendoakan keselamatan mereka, yang kini berada di luar negara," katanya semasa ditemui di rumahnya di sini, pada Khamis.
Bekas guru itu yang ditemani isteri, Zaleha Baw Khan, 82, berkata mereka masih menunggu keputusan selanjutnya susulan perkembangan terbaharu di Perancis.
Pada Rabu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) di Strasbourg, Perancis memutuskan bahawa ia akan mendengar kes terhadap Rusia berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah timur Ukraine dan kes pesawat MH17 yang ditembak jatuh.
Bernama melaporkan, ECHR pada Rabu mengisytiharkan sebahagian kes yang dibawa oleh Ukraine dan Belanda boleh diterima.
Kerajaan Belanda memfailkan aduan mengenai pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengakibatkan kematian 298 orang termasuk 196 warga Belanda, menurut mahkamah.
Kerajaan Ukraine pula mengemukakan aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh puak pemisah di Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) selain oleh anggota tentera Rusia.
"Ia berpendapat bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk memenuhi beban pembuktian pada peringkat penerimaan amalan pentadbiran yang melanggar beberapa Artikel Konvensyen dan ia mengisytiharkan majoriti aduan oleh Kerajaan Ukraine boleh diterima.
"Begitu juga, had bukti untuk tujuan kebolehterimaan telah dipenuhi membabitkan aduan kerajaan Belanda membabitkan pesawat MH17 yang ditembak jatuh juga diisytiharkan boleh diterima," menurut kenyataan itu.
Mahkamah turut mendapati bahawa kawasan di timur Ukraine yang dikawal puak pemisah dari 11 Mei 2014 sehingga sekurang-kurangnya 26 Jan 2022 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan Rusia.
Ia merujuk kepada kehadiran anggota tentera Rusia di timur Ukraine mulai April 2014 dan penempatan besar-besaran tentera Rusia selewat-lewatnya pada Ogos 2014.
"Mahkamah seterusnya mendapati bahawa responden mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap strategi ketenteraan pemisah dengan membekalkan senjata dan peralatan ketenteraan lain kepada pemisah pada skala yang ketara sejak awal "DPR" dan "LPR" dan pada bulan dan tahun berikutnya, melakukan serangan artileri atas permintaan daripada pemisah serta telah memberikan sokongan politik dan ekonomi kepada pemisah," menurut kenyataan itu.
Pemisah pro-Rusia berjuang untuk menubuhkan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk di timur Ukraine.
MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia semasa terbang di wilayah konflik itu ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.