MH17: Solidariti persahabatan enam pramugari

Nabihah Hamid
Julai 19, 2014 14:15 MYT
Solidariti persahabatan enam pramugari
Bukan sahaja kaum keluarga, berita nahas pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 turut memberi kesan kepada kenalan rapat penumpang dan anak kapal berkenaan. Bagi rakan sekerja pramugari Azrina Yakob, 41, yang berada di dalam pesawat itu 17 Julai lalu, kehilangan ibu kepada dua anak itu amat dirasai.
Buat rakan rapat, Azian HK yang sama-sama berada dalam kelas pramugari 'batch 231', mereka telah mengenali satu sama lain untuk lebih 20 tahun dan adalah sukar untuk melupakannya.
"Kami kenalan rapat, saya sudah mengenalinya selama 22 tahun, Azrina seorang yang baik hati. Kalau pergi kemana-mana, dia selalu akan bertanya kami nak kirim apa. Walaupun dia tinggal jauh dekat Sepang tapi dia tidak kisah hantar barang yang dikirim itu biar jauh sekalipun,"
Gambar kelas pramugari 'batch 231' pada 1992
Sementara itu, seorang lagi rakan baiknya, Hasliza Hashim yang masih terkejut dengan berita tersebut menceritakan saat akhir dia dan Azrina berkomunikasi.
"Sebelum dia berangkat ke Amsterdam, dia ada WhatsApp saya. Biasalah dia sentiasa pesan beli kuih raya dan sepatutnya saya jumpa jam 3 petang Jumaat iaitu sehari selepas dia tiba ke Malaysia."
Dengan mata yang bergelinangan, Hasliza memberitahu bahawa beliau masih lagi tidak dapat mempercayai tentang kebenaran kejadian tersebut.
Komunikasi terakhir di antara Hasliza dan Azrina beberapa hari sebelum nahas berlaku
"Berita itu tersebar dengan sekelip mata, dan dia baru sahaja WhatsApp saya," kata Hasliza menahan sebak.
Mereka memulakan kerjaya sebagai pramugari selepas mengikuti kelas latihan MAS dan merupakan kawan sekerja Azrina sejak tahun 1992 lagi.
Masing-masing menceritakan tentang keperibadian Azrina yang peramah dan sentiasa mengutamakan kerjayanya. Azrina juga merupakan seorang sahabat yang setia dan selalu menghubungi mereka.
"Kami selalu berkumpul meskipun sudah tidak bekerja di MAS lagi. Untuk memastikan hubungan kami tidak putus, kami juga wujudkan grup WhatsApp ."
Bacaan Yassin dari enam sekawan
Kedua-dua mereka ditemui bersama tiga lagi rakan mereka yang sememangnya akrab berenam di sebuah rumah di Kuala Lumpur selepas berbuka puasa. Masing-masing turut membacakan surah Yassin untuk Azrina.
Azrina Yaacob 41, adalah antara 15 anak kapal dan 283 penumpang MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLI) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
Anak kelahiran Alor Setar ini meninggalkan seorang suami dan dua anak masing-masing berumur tiga dan enam tahun.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;