MH17: 'Rusia perlu kerjasama dan lebih prihatin' - Azwan Bro
Wan Syamsul Amly
Julai 31, 2015 07:54 MYT
Julai 31, 2015 07:54 MYT
Rusia diminta mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan isu keengganan meluluskan penubuhan tribunal antarabangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan Rusia yang menggunakan veto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNSC itu juga benar-benar mengecewakan.
"Kami amat kecewa dengan tindakan Russia menggunakan kuasa VETO untuk menolak penubuhan tribunal antarabangsa nahas MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.
"Pemuda konsisten dengan pendirian sewaktu kami menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Russia bahawa keluarga mangsa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya berhak untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran.
"Apatah lagi kita mempunyai hubungan erat dan merupakan rakan baik kepada Russia di rantau ASEAN," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas keputusan Rusia memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNSC untuk penubuhan Tribunal Antarabangsa berkenaan MH17.
Dalam kenyataannya, Rusia enggan meluluskan draf tersebut kerana menyifatkan tragedi MH17 bukanlah ancaman kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa.
Tambahnya, sebelum ini UNSC tidak pernah meluluskan penubuhan tribunal antarabangsa untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam tragedi melibatkan pengangkutan.
Khairul Azwan turut memuatkan pandangan sama pada catatan terbaharu di laman Facebooknya.
Dalam pada itu kata Khairul Azwan, amat mengecewakan sekiranya pihak kerajaan Rusia tidak mengambil kira hubungan yang telah terjalin dengan negara selama ini.
"Saya mendesak Menteri Luar kita menghantar bantahan serta makluman kekecewaan kita kepada rakan sejawatnya.
"Sekiranya Russia berpendapat bahawa ini bukan jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masaalah ini maka wajiblah mereka mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan kemelut ini.
"Bagi pihak keluarga mangsa dan rakyat Malaysia kami teguh dengan pendirian bawah keadilan dan kebenaran mesti diperjuangkan," jelasnya.
11 ahli UNSC menyokong draf resolusi yang dicadangkan Malaysia ketika proses pengundian.
Sementara Angola, Venezuela dan China memilih untuk berkecuali.
Di sebalik tindakan veto, Moscow menyatakan kesediaan membantu siasatan pesawat MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Ukraine.
Pada Jumaat, Peguambela dan peguamcara, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berpandangan tindakan Rusia menggunakan kuasa veto menolak resolusi yang dibentangkan Malaysia kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menubuhkan tribunal antarabangsa berkenaan nahas MH17 membuktikan ia mahu diberikan hak untuk mengemukakan bukti seadilnya.
Katanya, tindakan Rusia itu kerana Ukraine merupakan sebahagian daripada badan siasatan nahas tersebut.
#Azwan Bro
#Majlis Keselamatan Pertubuhan Bersatu
#MH1717
#Rusia
#Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
#Ukraine