MH17: Rusia beri kerjasama bantu Malaysia tangani tragedi, kata Duta Rusia

Bernama
Julai 21, 2014 10:56 MYT
MH17: Rusia akan bantu Kerajaan Malaysia berhubung kes MH17 - Gambar fail
Rusia akan bekerjasama dengan apa cara yang mungkin untuk membantu kerajaan Malaysia menangani kes pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas di timur Ukraine.
Duta Rusia di Malaysia, Lyudmila G. Vorobyeva berkata negaranya menghargai hasrat kerajaan Malaysia untuk mengetahui bagaimana tragedi dahsyat itu berlaku dan tidak semata-mata menuding jari kepada mana-mana pihak.
"Di Rusia, kami berasa amat simpati dengan Malaysia, keluarga mangsa dan mereka yang kehilangan saudara-mara dan orang tersayang. Kami juga amat menghargai pendirian kerajaan Malaysia yang tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menuding jari dan cuba untuk mencari fakta.
"Oleh itu, Rusia akan memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia dan kami akan melakukan semua yang yang termampu untuk membantu kerajaan dalam keadaan yang sukar ini," katanya.
Vorobyeva mengulas insiden pesawat Boeing 777-200ER MAS terhempas di kawasan Donetsk di Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur Khamis lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata pada Jumaat bahawa pihak berkuasa Ukraine percaya Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 kru, telah ditembak jatuh.
Vorobyeva berkata, pada masa ini, kerajaan Rusia sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menyediakan langkah-langkah keselamatan di tempat kejadian.
"Kami meminta kerajaan Kiev dan pemimpin kawasan (Donetsk) ini memastikan bahawa semua langkah keselamatan dilaksanakan supaya pasukan pakar boleh sampai ke tempat kejadian," kata beliau dan menambah bahawa pengaruh Rusia terbatas memandangkan peswat itu terhempas di wilayah Ukraine.
Beliau bagaimanapun berkata penglibatan suruhanjaya antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) amatlah penting bagi menyiasat tragedi itu.
#Amsterdam #duta #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine