MH17: MAS perlu percepatkan bayaran pampasan - Liow
Astro Awani
Jun 28, 2015 14:49 MYT
Jun 28, 2015 14:49 MYT
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) digesa percepatkan proses mengenal pasti penerima rasmi pampasan tragedi pesawat MH17.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sehingga kini sejumlah kecil daripada 164 waris mangsa masih lagi belum menerima pampasan tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat tahunan MCA Gopeng di Ipoh pada Ahad.
Menurut beliau, kelewatan waris mangsa menerima pampasan itu adalah disebabkan proses yang perlu diambil oleh MAS bagi mengenal pasti penerima yang layak dan juga rasmi untuk menerima pampasan tersebut.
BACA: Ulang tahun pertama tragedi MH17 bulan depan - Liow
Kata beliau lagi, pampasan itu perlu diberi kepada waris mangsa secepat mungkin bagi membantu meringankan beban mereka.
“Kita telah pun arahkan MAS percepatkan bayaran tersebut. Saya difahamkan ramai telah mendapat bayaran itu hanya tinggal beberapa keluarga mangsa yang belum dikenal pasti siapa perlu menerima bayaran itu.
“Kita kena pastikan siapa sebenarnya penerima yang rasmi. Saya rasa itu perlu diuruskan oleh MAS secepat mungkin. Bagi kerajaan kita dah pastikan kita nak pastikan semua bayaran itu dibuat dengan cepat,” kata Liow.
Dalam pada itu, Liow juga mengesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan mereka membantu Malaysia mendapat keadilan yang sewajarnya dalam tragedi tersebut.
Katanya, badan siasatan yang diwujudkan di peringkat antarabangsa juga perlu mengeluarkan laporan tragedi itu secepat mungkin supaya dalang sebenar dapat dikenal pasti.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.