MH17: Malaysia tunggu keputusan Mahkamah Belanda sebelum bertindak
Nailah Huda
September 25, 2022 12:23 MYT
September 25, 2022 12:23 MYT
NEW YORK: Malaysia hanya akan bertindak berhubung tragedi MH17 selepas Mahkamah Belanda memutuskan nasib empat suspek pada 17 November depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan pendirian tersebut kepada rakan sejawatnya dari Belanda, Mark Rutte dalam satu pertemuan di New York pada Jumaat ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.
Jelas beliau, terdapat percubaan oleh negara-negara terbabit seperti Belanda dan Australia untuk melibatkan Malaysia dalam membuat pertuduhan terhadap Rusia.
Manakala, badan penerbangan antarabangsa dicadangkan untuk meletakkan tekanan terhadap Rusia yang disifatkan beliau sebagai "politik di Eropah".
“Walau bagaimanapun, Malaysia berpandangan, oleh kerana kes ini telah dibawa ke mahkamah dan tidak ada lagi keputusan siapa yang membuat tembakan tersebut dan tidak ada lagi keputusan yang jelas oleh mana-mana pihak, kita tidak mahu mendahului keputusan mahkamah.
"Kita akan tunggu. Apabila kita dapat keputusan, kita akan bertindak," kata Ismail Sabri dalam sidang media di New York pada Sabtu waktu tempatan.
Dalam pertemuannya bersama Rutte pada Jumaat, Perdana Menteri Belanda itu menyatakan harapannya bahawa negara-negara yang terkesan akibat tragedi MH17 bersedia untuk bertindak selepas mahkamah memutuskan nasib keempat-empat suspek.
Mereka yang terdiri daripada seorang warga Ukraine dan tiga warga Rusia, masih bebas dan tidak hadir sepanjang perbicaraan berlangsung di mahkamah.
Pasukan pendakwaan berkata kesemua suspek membantu dalam membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan oleh puak pemisah untuk menembak roket ke pesawat tersebut pada 17 Julai 2014.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban, kebanyakannya penumpang rakyat Belanda.