MH17: Malaysia diterima sebagai anggota penuh pasukan siasatan bersama

Bernama
Disember 1, 2014 20:16 MYT
Gambar fail bangkai pesawat penerbangan MH17 sedang dikeluarkan dari kawasan nahas di wilayah timur Ukraine baru-baru ini. - Gambar AFP
Malaysia diterima sebagai anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang tertumpu kepada siasatan jenayah susulan nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.
Jabatan Peguam Negara hari ini menyatakan bahawa anggota asal pasukan siasatan itu ialah Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.
Penerimaan Malaysia sebagai anggota penuh dan setaraf dalam pasukan siasatan itu dimaklumkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Kebangsaan Belanda melalui surat bertarikh 28 Nov lepas yang diterima Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.
"Sebagai sebahagian daripada proses siasatan jenayah bersama antarabangsa yang sedang dijalankan, Peguam Negara akan belepas ke The Hague pada Rabu untuk menghadiri Mesyuarat Koordinasi Eurojust Ketiga mengenai siasatab jenayah itu yang dijadualkan pada 4 Dis," kata kenyataan Jabatan Peguam Negara di sini.
Mesyuarat itu akan turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Pesawat Boeing 777 dipercayai ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.
Tragedi itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia.
#Abdul Gani Patail #Jabatan Peguam Negara #Khalid Abu Bakar #MAS #MH17 #Pasukan Siasatan Bersama
;