MH17: Kerajaan tidak akan berhenti mencari kebenaran - Najib

Astro Awani
Julai 11, 2015 15:46 MYT
Najib meminta agar semua rakyat terus memperkukuh solidariti dan semangat perpaduan sdalam mengenang tragedi menyayat hati yang berlaku setahun lalu.
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan yang Malaysia akan terus kekal komited dalam memberi kerjasama penuh dalam siasatan demi mencari kebenaran dan keadilan tragedi malang MH17 khususnya kepada ahli keluarga, rakan taulan penumpang dan anak kapal penerbangan itu.
"Kepada keluarga tragedi MH17, usahlah berasa bimbang kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak berhenti mencari kebenaran. Sesukar dan sepayah mana pun keadilan yang dituntut pasti akan kita kembalikan kepada keluarga dan rakan taulan mangsa," jamin Perdana Menteri dalam ucapannya di hadapan lebih seribu orang di Kompleks Bunga Raya, KLIA sempena Majlis Peringatan Khas sempena setahun tragedi MH17.
Najib juga meminta agar semua rakyat terus memperkukuh solidariti dan semangat perpaduan dalam mengenang tragedi menyayat hati yang berlaku setahun lalu.
BACA: Laporan akhir siasatan teknikal insiden MH17 akan dikemukakan Oktober - Najib Razak
BACA: Upacara memperingati setahun tragedi MH17 berlangsung pagi ini
"Maka itu, tidak kira apa latar belakang, politik dan agama, kita sewajibnya bersatu hati sebagai satu negara dalam hal ini.
"Sesungguhnya, tiada kata-kata dapat melakarkan kesedihan dan kepiluan ahli keluarga dan sahabat handai mangsa MH17 yang terkorban dalam nahas ini," katanya lagi.
Beliau pada masa sama mengulangi jaminan untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Ujarnya, mekanisme pendakwaan kini sedang dalam pertimbangan.
"Walau bagaimanapun, kita tidak menuding jari pada mana-mana pihak sehingga bukti sahih dapat diabsahkan.
"Namun kita dari awal mengutuk sekeras-kerasnya, tindakan tidak berhati perut, tindakan tidak bertamadun, tindakan ganas dan tindakan lagi tidak bertanggungjawab itu dan kita juga kan memastikan pihak tidak bertanggungjawab itu menerima hukuman yang setimpal," katanya lagi.
#Belanda #DSB #Lembaga Siasatan Belanda #MH17 #Najib Razak #Ukraine
;