MH17: Keluarga juruterbang ingin jasadnya dikebumikan di Malaysia
Astro Awani
Julai 18, 2014 01:14 MYT
Julai 18, 2014 01:14 MYT
Keluarga juruterbang MH17 berharap jenazah Kapten Wan Amran Wan Hussin dapat dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung mereka di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.
Menurut anak-anak saudaranya, mereka masih menanti kepastian mengenai senarai mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia.
Menurut Nur Sufizah Duzuki, Kapten Wan Amran yang mereka panggil Ayah Ran memang rapat dengan anak-anak saudaranya dan cukup sinonim dengan angka tujuh.
“Dia memang pemurah, baik hati, rendah diri walaupun dia tu orang kata berpelajaran dan ‘low profile’ serta orang tidak menjangkakan bahawa beliau adalah seorang juruterbang,” katanya.
Kata Nur Sufizah, angka tujuh seperti amat bermakna bagi diri bapa saudaranya itu.
Nur Sufizah juga berkata dia tidak menyangka bahawa ‘Ayah Ran’ yang bekerja di atas kapal terbang akan meninggal di dalam pesawat.
Katanya lagi, Ayah Ran juga seorang yang berpengaruh di dalam keluarganya dan sering mejadi rujukan mereka.
Seorang lagi anak saudara Kapten Wan Amran, iaitu Nor Suazlin Duzuki pula memberitahu bapa saudaranya itu seorang yang amat taat suruhan agama, merendah diri dan sentiasa mengutamakan keluarganya.
Katanya Kapten Wan Amran juga dikatakan telah menelefonnya untuk bertanya khabar sambil memberitahu bahawa beliau akan melawat mereka pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Nor Suazlin ketika ditemui di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar berkata, pakciknya itu juga sempat membina sebuah rumah sebagai hadiah kepada arwah ibunya yang mennjadi peninggalan terakhir Kapten Wan Amran untuk mengumpulkan ahli keluarganya.
“Saya rapat dengan bapa saudara saya itu, dan dia juga rapat dengan saya. Dia murah hati dan penyayang tidak kira siapa-siapa pun.
“Memang terkejut sangat la tadi tengok berita rasa macam tak percaya sangat selagi tak tengok muka dia tak keluar dekat suratkhabar. Tiba-tiba pagi tadi beli suratkhabar memang betul sah muka dia dengan nama dia sekali tertera,” katanya.
Tambahnya, bapa saudaranya itu sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
“Tambah pula saya nak dekat bersalin ni dia kata cukup ke duit tu… dia memang sentiasa ambil berat,” kata Nor Suazlin.
Katanya lagi, simpati yang selama ini dirasai selama ni ketika melihat mangsa pesawat MH370 telah dapat difahami apabila tragedi yang sama kena pada ahli keluarganya.
“Barulah saya faham masa tu perasaan famili orang lain… macam mana sedih kehilangan orang yang paling kita sayang tambah tambah lagi isteri kepada Ayah Ran tidak bekerja,” katanya.
Menurut Nur Suazlin lagi, Wan Amran yang mempunyai dua anak kecil sentiasa memastikan keluarganya dalam keadaan baik.