MH17, hubungan dua hala topik bualan pemimpin ASEM dengan Najib

Bernama
Oktober 17, 2014 02:38 MYT
Najib berkata boleh dikatakan kesemua pemimpin yang bertemu dengannya akan menyentuh isu MH17 serta bersimpati dengan apa yang dialami Malaysia. - Foto Bernama
Topik berkaitan tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 dan hubungan dua hala, antara yang disentuh pemimpin Eropah dan Asia apabila berkesempatan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berada di sini, sempena Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM).
Najib berkata boleh dikatakan kesemua pemimpin yang bertemu dengannya akan menyentuh isu MH17 serta bersimpati dengan apa yang dialami Malaysia.
"Ramai yang ucap takziah, ada yang berkisar mengenai situasi dan langkah yang akan diambil Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena ASEM itu di sini, Khamis.
Pemimpin daripada 51 negara dari dua benua berhimpun di Milan selama dua hari bagi Sidang Kemuncak ASEM yang bermula Khamis bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte yang berkisarkan mengenai insiden MH17 di sini, Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa Rutte akan melawat Malaysia pada awal bulan depan sebelum ke Australia dengan tujuan untuk terus memberi penekanan terhadap isu MH17.
"Bila beliau melawat Malaysia dan Australia, isu ini akan dibawa oleh beliau dan akan terus dalam perhatian masyarakat antarangbangsa," katanya.
Penerbangan MH17, membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan kejam itu.
Selain 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu, penumpang lain ialah warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Sementara itu, dalam beberapa pertemuan Perdana Menteri dengan para pemimpin di luar sidang kemuncak itu, beberapa isu berkaitan hubungan dua hala turut disentuh.
Semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi, Najib berkata pemimpin itu mengharapkan Malaysia mengiktiraf Itali sebagai negara yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan dan bidang yang berpotensi dikembangkan di Malaysia seperti produk farmaseutikal, pertahanan dan kejuruteraan.
Pemimpin Itali itu juga berharap Malaysia akan menyertai Expo 2015 di negara itu, katanya.
Perdana Menteri Lithuania Algirdas Butkevicius pula dalam pertemuannya dengan Najib meminta agar Malaysia mempertimbangkan kemungkinan menghantar pelajar ke negara itu dalam bidang perubatan dan kejuruteraan yang dikatakan kini menarik minat ramai penuntut dari Timur Tengah dan India kerana kosnya yang rendah.
Najib berkata, pemimpin itu juga menyentuh mengenai pelaburan di negara itu serta mempertimbangkan menjadikan Lithuania sebagai pintu masuk ke Eropah.
Beliau berkata Presiden Perancis Francois Hollande pula dalam pertemuan mereka melahirkan hasrat agar hubungan ekonomi, perdagangan dan pertahanan antara Malaysia dan Perancis dipertingkatkan selain menjemput Malaysia menyertai persidangan perubahan iklim di Paris, tahun depan.
#ASEM #Asia #eropah #Itali #Milan #Najib Razak