MH17 antara pesawat penumpang ditembak dalam sejarah penerbangan

Bernama
Oktober 13, 2015 07:30 MYT
Kesemua 283 penumpang dan 15 kru di dalam pesawat Boeing 777 itu terbunuh dalam tragedi terbabit.
Insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 pada 17 Julai tahun lepas adalah yang kelima melibatkan pesawat komersial dalam sejarah penerbangan.
Kesemua 283 penumpang dan 15 kru di dalam pesawat Boeing 777 itu terbunuh dalam tragedi terbabit.
Pesawat itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada ketinggian 30,000 kaki, apabila ditembak dan terhempas di kawasan bergolak di Ukraine berdekatan sempadan Rusia.
Kerajaan Rusia dan Ukraine menafikan pembabitan mereka dalam insiden itu.
Empat lagi insiden berlaku pada:
* 21 Feb 1973, apabila 108 daripada 113 penumpang pesawat Libyan Arab Airlines terkorban apabila pejuang Israel menembak jatuh Boeing 727-200 itu yang tersasar ke ruang udara di Gurun Sinai, ketika itu di bawah kawalan Israel.
* 1 Sept 1983, apabila 239 penumpang Korean Airlines dari New York ke Seoul terbunuh apabila jet penumpang itu ditembak jatuh oleh pejuang Soviet semasa era Perang Dingin.
- Pesawat 007 KAL tersasar dari haluan lalu memasuki kawasan Soviet dan dua buah jet pejuang dihantar untuk memintas pesawat yang dianggap penceroboh itu.
- Wakil kongres Amerika Syarikat dari Georgia Larry McDonald antara penumpang pesawat itu. Penembakan jatuh pesawat itu menimbulkan bantahan keras ketika itu, meskipun fakta penuh hanya diperoleh selepas Perang Dingin berakhir.
* 3 Julai 1988, apabila, di Teluk Persia yang bergolak, USS Vincennes menembak jatuh pesawat Airbus A300 Iran Air yang dalam perjalanan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Kesemua 290 penumpang dan kru terbunuh.
* 4 Okt 2001, apabila pesawat Siberia Airlines Tupelov 154 dari Tel Aviv, Israel ke Novosibirsk, Rusia ditembak jatuh dan terjunam ke Laut Hitam, mengorbankan kesemua 78 penumpang yang kebanyakannya rakyat Israel kelahiran Rusia.
- Tentera Ukraine pada mulanya menafikan namun kemudian mengaku pihaknya tersalah tembak pesawat itu semasa latihan.
BACA: Dalang tembak jatuh MH17 harus bertanggungjawab - PM
BACA: Malaysia mahu mahkamah antarabangsa bebas dakwa dalang nahas MH17
BACA: Laporan akhir sahkan MH17 ditembak BUK buatan Rusia
#Malaysia Airlines #MAS #MH17 #pesawat komersial #sejarah penerbangan
;