MH17 antara perbincangan Menteri Luar Malaysia, Belanda

Bernama
Mac 27, 2019 05:09 MYT
Isu MH17 dan minyak sawit adalah antara topik yang bakal dibincangkan oleh Menteri Luar Malaysia dan Belanda dalam pertemuan pada Khamis. - Astro AWANI
Menteri Luar Malaysia dan Belanda akan bertemu di sini pada Khamis, antara lain akan membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh.
Menteri Luar Belanda Stef Blok akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia pada Khamis dan beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain MH17, kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu mengenai kepentingan bersama termasuk minyak sawit, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Brexit, katanya.
"Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Belanda," katanya dalam kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: MH17: Empat persoalan yang terjawab hasil siasatan JIT
Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, di ruang udara timur Ukraine. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.
Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Belanda juga menyasar untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu.
Pada 2018, jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Belanda masing-masing pada RM32.57bilion (US$7.82 bilion) dan RM8.4bilion (US$2.06 bilion).-- BERNAMA
#EU #isu minyak sawit #Kesatuan Eropah #Malaysia Airlines #menteri luar belanda #menteri luar malaysia #PCA #perbincangan #pesawat MH17 #Saifuddin Abdullah
;