MH17: 45 keluarga jalani proses pengambilan DNA untuk kenal pasti mangsa

Bernama
Julai 24, 2014 07:25 MYT
Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya keluar dari rumah bapa mangsa kru pesawat penerbangan MH17, Sanjid Singh Sandhu, Jijar Singh, 71, selepas mendapatkan sampel DNA keluarganya. --fotoBERNAMA
Empat puluh lima keluarga penumpang mangsa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) telah menjalani proses pengumpulan data dan pengambilan sampel DNA sehingga kini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sampel DNA yang diambil adalah daripada anggota keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa seperti ibu, bapa, anak atau adik beradik kepada mangsa.
MAS telah memaklumkan bahawa terdapat 43 mangsa kejadian yang mempunyai pertalian keluarga di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Subramaniam juga berkata pasukan perubatan dari Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya telah diaktifkan untuk memberikan rawatan perubatan kepada anggota keluarga mangsa sekiranya diperlukan.
Beliau berkata enam pasukan kesihatan telah diaktifkan untuk bersiap sedia dalam pengurusan pelepasan kesihatan di pintu masuk bagi kemasukan jenazah mangsa tragedi itu.
Pesawat MH17 Boeing 777-200 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia Khamis lepas.
Ia membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal yang dipercayai ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukannya.
#Amsterdam #DNA #KLIA #Malaysia Airlines #mangsa #MH17 #penerbangan Malaysia #Rusia #Ukraine